Merawat Sakit Gigi di Rumah

Rawatan Sakit Gigi Dan Petua Untuk Mengurangkan Kesakitan Di Rumah

Sakit gigi selalunya mengganggu keselesaan, dan ia mempunyai tabiat untuk muncul pada masa yang paling tidak sesuai. Anda tidak sentiasa boleh pergi ke klinik gigi dengan segera, dan walaupun jika boleh, kadangkala rawatan sakit gigi yang disyorkan doktor gigi anda mungkin mengambil masa. Berita baiknya ialah terdapat beberapa langkah yang anda boleh lakukan di rumah untuk mendapatkan sedikit kelegaan daripada kesakitan. Maklumkan petua ini pada doktor gigi anda terlebih dahulu untuk memastikania tidak bertentangan dengan pelan rawatan beliau.

Melegakan Kesakitan Sakit Gigi

Acetaminophen

Ubat kaunter seperti acetaminophen berguna untuk merawat sakit gigi, dan ia ubat yang paling biasa diberikan selepas rawatan gigi, menurut Persatuan Pergigian Amerika. Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika menyatakan bahawa acetaminophen ialah sejenis analgesik dan mengubah cara badan anda menerima kesakitan, yang menjadikan kesakitan boleh ditahan.

NSAID

Sakit gigi sering diringi dengan keradangan, bengkak dan kemerahan gusi, atau kerengsaan pada bahagian mulut yang lain. Simptom ini mungkin dikurangkan dengan mengambil ubat antiradang, seperti naproxen atau ibuprofen, atau mana-mana ubat antiradang bukan steroid (NSAID) lain. Anda hanya patut mengambil salah satu ubat ini jika anda benar-benar pasti yang anda tidak mempunyai alergi kepada bahan-bahannya, dan anda harus sentiasa memastikan yang anda mengambil NSAID dengan makanan untuk mengelakkan kerengsaan perut.

Ubat Topikal

Produk seperti benzocaine yang disapukan terus pada gigi juga boleh memberikan anda sedikit kelegaan jangka pendek daripada kesakitan. Doktor gigi anda mungkin mengesyorkan penggunaan benzocaine bagi tujuan ini, kerana ia boleh memberikan kelegaan kesakitan yang terbukti secara klinikal terhadap kerengsaan mulut.

Pek Ais

Memegang pek ais atau bungkusan beku di bahagian luar muka anda walaupun mengejutkan sebenarnya mampu membantu. Kesejukan itu membantu mengebaskan kesakitan. Letakkan ais selama beberapa minit pada satu-satu masa dan kemudian berhenti sebentar.

Elakkan Makanan Keras

Sakit gigi kerap berpunca daripada sama ada gigi patah atau kaviti gigi, jadi sehingga anda pasti punca kesakitan anda, paling baik adalah dengan mengambil langkah berjaga-jaga. Sementara anda menunggu dan terus selepas rawatan sakit gigi, memakan makanan lembut akan membantu anda mengelakkan kerosakan lanjut kepada gigi yang rapuh atau sensitif.

Pastikan Bersih

Walaupun anda sedang mengalami sakit gigi, ia masih penting untuk mengekalkan kebersihan gigi yang baik. Jika ia terlalu sakit untuk melakukan aktiviti memberus dan memflos harian anda, cuba gunakan produk kumuran. Tindakan berkumur membersih dan mengurangkan ketidakselesaan untuk menggalakkan penyembuhan.

Ia tidak selalunya mudah untuk mendapatkan rawatan yang anda perlukan pada masa anda memerlukannya, tetapi pilihan ini akan membantu melegakan kesakitan secukupnya sementara menunggu sehingga anda boleh mendapat bantuan profesional.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.