Petua gigi reput - colgate my
Badge field

Panduan dan Petua Mengenai Peringkat Gigi Reput dan Kerosakan Gigi

Published date field Terakhir dikemaskini:

Gigi reput atau kerosakan gigi bermula dengan plak, lapisan nipis bakteria yang semakin bertambah pada gigi. Bakteria ini menghasilkan asid dalam mulut anda, dan jika dibiarkan bertambah, ia boleh merosakkan enamel gigi dan mengakibatkan kaviti (gigi berlubang). Gigi reput boleh bertambah teruk sepanjang masa berlalu, dan peringkat lanjutan kerosakan gigi memerlukan rawatan yang lebih serius.

Tanda Pertama Kerosakan Gigi

Berdasarkan artikel The Journal of the American Dental Association (JADA), kerosakan gigi awal akan kelihatan seperti bintik coklat atau putih pada gigi. Perubahan warna akan berlaku apabila enamel menjadi semakin lembut. Kerosakan gigi di peringkat awal mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom, tetapi ia boleh dikesan oleh doktor gigi semasa melakukan pemeriksaan gigi.

Berdasarkan artikel JADA, kerosakan gigi boleh dihentikan atau dipulihkan pada peringkat awal. Doktor gigi akan mencadangkan rawatan yang dapat menguatkan enamel gigi, misalnya fluorida topikal atau rawatan yang melindungi gigi seperti sealan.

Peringkat Kerosakan Gigi

Jika kerosakan gigi peringkat awal tidak dirawat, enamel yang menjadi lembut akan mula haus dan mengakibatkan gigi berlubang, menurut artikel JADA. Pada tahap ini, ia mungkin tidak dapat memulihkan kerosakan yang berlaku pada gigi, tetapi pereputan yang selanjutnya dapat dielakkan dengan rawatan sesuai yang disyorkan oleh doktor gigi anda.

Jika anda mengesyaki anda mempunyai kaviti, jumpa doktor gigi dengan segera. Terdapatnya pelbagai rawatan, bergantung pada saiz dan lokasi kaviti tersebut. Doktor gigi anda mungkin mencadangkan tampalan, yang melibatkan menanggalkan bahagian gigi yang telah reput dan mengisi kawasan tersebut dengan bahan tampalan. Kaviti yang lebih besar mungkin perlu dibaiki dengan korona, iaitu pelitup yang sepadan dengan warna gigi yang digunakan untuk menutup gigi sepenuhnya.

Kalau tidak dirawat, kaviti boleh merebak hingga lebih dalam gigi. Ia boleh mencapai dentin, iaitu lapisan gigi yang sensitif di bawah enamel, jelaskan Mayo Clinic. Pereputan dentin ini boleh merebak dengan lebih mendalam sampai mencapai pulpa, yang mengandungi saraf dan salur darah gigi.

Menuruti Mayo Clinic, pereputan gigi yang semakin teruk menunjukkan simptom yang berlainan. Gigi yang terjejas mungkin sensitif, dan anda mungkin mengalami kesakitan semasa mengambil makanan atau minuman yang manis, panas atau sejuk. Sakit gigi semasa menggigit juga boleh menandakan kerosakan gigi. Apabila kerosakan gigi semakin teruk, anda mungkin dapat lihat lubang-lubang di gigi.

Komplikasi Kerosakan Gigi Yang Tidak Dirawat

Kerosakan gigi boleh menyebabkan komplikasi yang serius semasa tidak dirawat. Pereputan yang teruk boleh membawakan jangkitan, dan poket bernanah (abses) mungkin terbentuk pada hujung akar gigi. Simptom abses menuruti American Dental Association, termasuk rasa sakit, bengkak dan demam. Sekiranya tidak dirawat, jangkitan tersebut boleh merebak ke kawasan sekeliling, termasuk tulang rahang.

Pereputan gigi yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan kehilangan gigi. Berdasarkan Mayo Clinic, doktor gigi mungkin perlu mencabutkan gigi reput yang tidak dapat diselamatkan.

Mencegah Kerosakan Gigi

Mujurnya, terdapat pelbagai perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko kerosakan gigi, menurut Mayo Clinic. Pertamanya, rutin penjagaan kebersihan mulut adalah penting. Memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan ubat gigi fluorida, dan jangan lupa memflos sekali sehari. Doktor gigi anda juga mungkin mecadangkan penggunaan ubat kumur.

University of Rochester Medical Center menyatakan bahawa mengamalkan pemakanan yang sihat untuk gigi juga dapat membantu. Makanan yang bergula dan berkanji, seperti kek, biskut dan kerepek, boleh melekat pada gigi dan menyumbang kepada plak yang semakin bertambah. Cuba elakkan makanan tersebut atau memberus gigi selepas memakannya. Makanan lain seperti buah-buahan, sayuran dan keju, boleh meningkatkan pengaliran air liur yang membantu menanggalkan partikel makanan dan mencegah kerosakan gigi. Merujuk kepada doktor gigi anda untuk maklumat lanjut mengenai makanan yang sihat untuk penjagaan gigi.

Ia juga penting untuk menghadiri pemeriksaan gigi yang kerap. Dalam lawatan ini, doktor gigi boleh mengenap pasti kerosakan gigi pada peringkat awal dan merawatnya sebelum ia menjadi lebih teruk. Jika anda mengesyaki terdapat kaviti sekarang, jangan berlengah-lengah berjumpa doktor gigi. Rawatan yang secepat mungkin dapat memulihkan semula kesihatan mulut anda.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.