Kunci Untuk Mengawal Nafas Berbau

Kunci Untuk Mengawal Nafas Berbau

Jika anda benar-benar ingin mengetahui sebab nafas anda berbau, cuba aturkan janji temu dengan profesional pergigian anda. Dengan rekod lengkap perubatan dan pergigian anda serta pemeriksaan mulut, doktor gigi anda sepatutnya dapat mengenal pasti puncanya. Penyebab nafas berbau sangat banyak dan disumbang oleh makanan tertentu, alkohol atau rokok, penjagaan kebersihan mulut yang kurang baik, penyakit periodontium, diabetes, mulut kering, jangkitan sinus atau tekak, jangkitan atau abses paru-paru, kegagalan buah pinggang/hati, masalah gastrousus dan diet yang melampau

Rawatan Nafas Berbau
Membersihkan mulut secara menyeluruh di rumah dua kali sehari merupakan rutin yang penting. Gunakan berus gigi dengan ubat gigi antibakteria dan flos gigi untuk menanggalkan sisa makanan dan plak pada gigi, jambatan dan implan serta memberus lidah untuk menghilangkan bakteria penyebab bau mulut. Kajian yang diterbitkan melaporkan bahawa memberus lidah dan gigi serta memflos gigi dapat mengurangkan pendarahan tisu gusi dengan ketara dalam tempoh dua minggu di samping mengurangkan nafas berbau1. Kajian klinikal lain yang dijalankan oleh penyelidik pergigian University of Buffalo mengesahkan bahawa memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi antibakteria dan menggunakan berus gigi dengan pembersih lidah dapat menghapuskan nafas berbau2.

Membersihkan Lidah Ialah Kunci Kepada Nafas Yang Lebih Segar, Lebih Bersih
Membersihkan lidah anda adalah sangat penting. Anda boleh membeli berus gigi Colgate 360 dengan pembersih lidah di belakang berus gigi untuk membersihkan gigi dan juga lidah anda. Selepas memberus gigi atas dan gigi bawah anda dengan ubat gigi antibakteria, terbalikkan berus gigi dan letakkan pembersih lidah pada bahagian pangkal lidah dan gerakkannya ke bahagian hujung lidah. Selepas bahagian lidah dikikis, bilas berus lidah dengan air suam untuk menghilangkan bakteria penyebab bau. Kemudian, letakkan berus lidah tersebut pada bahagian pangkal yang lain dan ulang langkah seperti yang dinyatakan di atas.

Rujuk doktor gigi atau pakar pembersih pergigian anda apabila memilih alat bantu kebersihan mulut untuk membantu anda menghapuskan plak dan bau yang disebabkan oleh bakteria dan kaji semula teknik yang perlu dilakukan di rumah. Selain itu, dapatkan cadangan profesional pergigian anda tentang produk penjagaan kebersihan mulut yang sesuai untuk membantu anda menghapuskan nafas berbau (ubat gigi antibakteria, ubat kumur antiseptik, berus atau pengikis lidah dan alat pembersihan antara proksimal).

Ambil lampu suluh dan suluh ke dalam mulut anak anda: Bagaimana rupa tonsilnya? Tonsil yang sihat seharusnya berwarna merah jambu dan tidak mempunyai bintik, tetapi tonsil yang tidak sihat berwarna merah, meradang dan mungkin mempunyai bintik-bintik putih dan berbau busuk. Bakteria boleh terkumpul di dalam lubang tonsil yang bengkak, dan jika terdapat jangkitan yang berbau masam, ia boleh menyebabkan nafas berbau. Jika tonsil anak anda kelihatan bengkak atau merah, ia perlu diperiksa oleh pakar pediatrik yang boleh mempreskripsikan antibiotik untuk membantu menangani masalah tersebut.

Kunci kepada mulut yang bersih dan segar ialah pembersihan mulut optimum yang dilakukan di rumah secara tetap dan syor profesional yang dibincangkan dengan profesional pergigian anda.

© Hak Cipta 2009 Colgate-Palmolive Company

Rujukan:

1. Biesbrock, A, et al. Assessment of Treatment Responses to Dental Flossing in Twins., J Perio 77(8):1386-1391, 2006.

2. University of Buffalo (Peter Moses, Betsey Clark, Violet Maraszthy, Joseph Zambon, (University of Buffalo), P.K. Sreenivasan (Colgate), Abstract presented at 2008 AADR Meeting.

11/15/2010

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.