Masalah Lidah Putih Dan Nafas Berbau

Masalah Lidah Putih Dan Nafas Berbau

 

Nafas berbau - semua orang pernah mengalaminya. Anda tidak semestinya dapat menghidu bau nafas anda sendiri, tetapi kadang kala anda pasti boleh merasainya. Kebanyakan orang fikir ia terjadi kerana makan makanan tertentu atau tidak memberus gigi dengan kerap. Salah satu cara untuk memeriksa nafas anda adalah dengan memeriksa warna lidah anda. Dengan ini, anda tidak perlu merasa malu kerana terpaksa meminta rakan rapat untuk menghidu nafas anda.Lidah putih dan nafas berbau biasanya wujud bersama-sama. Sebelum mengkaji kaitan antara lidah putih dan nafas berbau, berikut ialah beberapa penyebab nafas berbau.

Penyebab Nafas Berbau

Sesetengah daripada penyebab ini adalah ketara dan setengah daripadanya tidak. Berikut ialah lima sebab nafas anda mungkin memerlukan perhatian:

·       Kesihatan mulut yang kurang baik: Jika anda tidak mempunyai disiplin penjagaan mulut yang baik, cebisan makanan akan melekat pada gigi dan terselit di celah-celahnya. Bakteria mudah membiak dalam persekitaran tersebut dan menimbulkan masalah seperti nafas berbau.

·       Tembakau: Satu lagi alasan untuk berhenti merokok, di samping mengelakkan risiko mendapat kanser paru-paru.

·       Mulut kering: Kekurangan air liur menghalang keupayaan mulut anda untuk menanggalkan cebisan makanan yang tertinggal. Serpihan yang tertinggal itu boleh menyebabkan nafas berbau.

·       Makanan: Penyebab paling biasa ialah makanan seperti bawang dan bawang putih.

·       Keadaan perubatan: Keadaan tertentu seperti sinusitis atau titis postnasal boleh meninggalkan lapisan pada lidah yang menyebabkan nafas berbau.

Menurut Mayo Clinic , lidah putih berlaku akibat papila yang membesar dan bengkak pada permukaan lidah. Bakteria dan sel mati yang terlekat di antara papila membentuk lapisan putih. Terdapat banyak penyebab lidah putih, termasuk penggunaan alkohol dan tembakau, demam, mulut kering dan bernafas melalui mulut, dehidrasi dan penjagaan mulut yang kurang baik. Banyak penyebab lain yang wujud bersama-sama penyebab nafas berbau, antaranya bakteria di dalam mulut. Oleh itu, keadaan yang saling berkaitan ini mudah dilihat.

Rawatan Lidah Putih

Apabila anda mendapati lidah anda putih, buat janji temu dengan doktor gigi anda untuk mendapatkan penilaian berkenaan keadaan kesihatan mulut anda serta panduan yang disasarkan berdasarkan sejarah kesihatan pergigian anda. Sesetengah rawatan menangani beberapa sebab yang biasa secara langsung, seperti berhenti mengambil alkohol dan menggunakan tembakau, serta meminum banyak air supaya sentiasa terhidrasi. Pastikan juga anda memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi supaya nafas anda bersih dan segar, dan menggunakan flos gigi setiap hari untuk menanggalkan cebisan makanan yang mungkin tertanggal semasa memberus. Menurut Mayo Clinic, anda juga boleh cuba menggunakan pengikis lidah untuk menanggalkan lapisan putih pada lidah.

Mencegah nafas berbau yang berpunca daripada lidah putih bermula dengan penjagaan mulut yang berdisiplin. Pastikan anda mengikut cadangan doktor gigi anda untuk menghapuskan lapisan putih pada lidah atau nafas berbau atau kedua-duanya dan teruskan dengan rutin kebersihan mulut yang betul untuk menghalangnya daripada muncul semula pada masa akan datang. 

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.