Apa itu Halitosis

Apa itu Halitosis? Nafas Berbau Sekali Sekala atau Masalah Yang Kronik?

Kita semua pernah mengalaminya: Setelah anda makan roti bawang putih atau apabila mulut anda kering, anda mendapati nafas anda tidak segar seperti yang sepatutnya. Namun terdapat perbezaan besar antara nafas berbau sekali-sekala yang dialami oleh semua orang dengan nafas berbau yang kronik. Membawa ubat cecair pencuci mulut di dalam beg tangan dan kotak bekal tidak dapat menyelesaikan dengan mudah masalah nafas berbau yang kronik, yang juga dikenali sebagai halitosis. Jadi, apa itu halitosis dan bagaimana anda dan keluarga dapat menanganinya? Berikut ialah beberapa petua.

Apakah Penyebab Halitosis?

Halitosis berpunca daripada pelbagai sebab, sesetengah daripadanya agak serius. Berikut ialah beberapa penyebab yang paling lazim:

Cebisan Makanan. Makanan seperti bawang putih, bawang dan bahan masakan yang berbau kuat boleh meninggalkan cebisan di dalam mulut dan lidah anda, yang menimbulkan bau mulut yang tidak menyenangkan selepas makan. Mujurlah ia mudah dirawat dan bukan penyebab kronik halitosis.

Mulut kering. Ubat-ubatan, merokok dan bernafas melalui mulut boleh menyebabkan mulut kering. Kekurangan air liur bermakna bakteria tidak dapat dikeluarkan daripada mulut seperti yang sepatutnya dan ia menyebabkan nafas berbau. Jika mulut kering sekali sekala, tidak mengapa. Namun, nafas anda yang berbau boleh menjadi kronik, akibat daripada merokok setiap hari.

Masalah pergigian. Menurut Mayo Clinic, halitosis sering terjadi akibat penyakit gusi dan pereputan gigi. Masalah pergigian boleh menggalakkan bakteria bersembunyi di dalam kaviti atau pada poket di sekeliling gusi yang disebabkan oleh keadaan seperti gingivitis dan penyakit periodontium. Kaedah menyegarkan nafas untuk jangka pendek mungkin boleh menyembunyikan masalah tersebut, tetapi bau tersebut akan kekal apabila punca masalah tidak ditangani.

Masalah perubatan. Sesetengah virus dan penyakit, terutamanya yang melibatkan sinus, laluan hidung dan tekak, boleh menyebabkan halitosis. Kanak-kanak yang mempunyai nafas berbau mungkin menghidap selsema atau jangkitan sinus. American Dental Association menjelaskan bahawa nafas berbau juga mungkin menjadi tanda sesetengah penyakit hati dan buah pinggang.

Cara Menangani Halitosis

Sentiasa ingat: Jika masalah berlaku untuk jangka masa pendek, ambil langkah penyelesaian jangka pendek. Jika nafas berbau anda disebabkan oleh cebisan makanan atau mulut kering, rangsang pengeluaran air liur untuk membantu menghilangkan bakteria dan menyegarkan nafas. Berikan anak-anak anda gula-gula getah tanpa gula atau berkumur dengan ubat cuci mulut yang membantu menghilangkan kuman dan bakteria yang menjadi punca nafas berbau.

Jika nafas anda berbau disebabkan masalah kronik seperti pereputan gigi atau penyakit, anda perlu berjumpa profesional penjagaan kesihatan kerana gula-gula getah dan ubat cuci mulut hanya dapat menyembunyikan masalah tersebut untuk sementara waktu. Jika anda mempunyai masalah pergigian, buat janji temu dengan doktor gigi anda. Jika anda berpendapat masalah tersebut ialah masalah dalaman, anda perlu berjumpa doktor keluarga anda.

Sekarang setelah anda tahu jawapan kepada soalan, "Apa itu halitosis?", anda juga tahu bahawa anda tidak keseorangan. Menurut Massachusetts Dental Society, terdapat sebanyak 25 peratus orang yang menghidap beberapa jenis halitosis. Merawat masalah tersebut daripada puncanya bermakna nafas anda akan lebih segar di mana-mana sahaja anda berada sepanjang hari.

Dengan pemberusan gigi yang kerap, cebisan makanan, bakteria dan sisa lain akan dikeluarkan daripada mulut anda sebelum ia dapat melekat pada tonsil. Jika anda bimbang tentang nafas berbau, tidak kira sama ada berkaitan dengan batu tonsil atau tidak, berkumur dengan ubat cuci mulut dapat membantu menyegarkan nafas dan membunuh sebahagian besar bakteria di dalam mulut.

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.