Pelbagai Jenis Korona Gigi

Pelbagai Jenis Korona Gigi

oleh Steve Auger

Bergantung pada keadaan mulut anda pada sesuatu masa, doktor gigi anda akan menjalankan beberapa jenis prosedur yang berbeza. Walaupun pembersihan gigi, tampalan kaviti dan ikatan merupakan antara sesi yang lazim, prosedur yang lebih rumit kini sudah biasa dan mudah disiapkan. Selain rawatan kanal akar dan cabutan gigi bongsu, korona gigi juga sering diperlukan, dan boleh didapati dalam lebih daripada satu bentuk. Sebelum melihat perbezaan antara jenis-jenis korona gigi yang ada, pertimbangkan dahulu fungsinya.

Korona Gigi

Korona gigi (juga dirujuk sebagai cap) ialah sebuah objek prostetik tetap yang disimen pada gigi. Setelah dipasang, hanya doktor gigi yang boleh menanggalkannya. Tujuan utama korona ialah untuk menutup gigi yang rosak, tetapi ia juga mengukuhkannya dengan meningkatkan penampilan dan penjajaran di dalam mulut.

Korona dibuat dengan pengambilan acuan satu atau beberapa gigi yang akan ditutupnya. Sebelum pengambilan acuan ini, doktor gigi anda mesti mengurangkan saiz gigi anda terlebih dahulu supaya korona yang dibuat muat dengan selesa. Doktor gigi anda juga mungkin meletakkan korona sementara apabila korona kekal sedang dibuat.

Jenis Korona Gigi

Terdapat empat jenis korona gigi yang berlainan.

Seramik — Ini digunakan untuk memulihkan gigi hadapan, dan adalah popular di bahagian ini kerana mudah dipadukan dengan warna gigi asli anda. Korona ini diperbuat daripada bahan berasaskan porselin.

Porselin terikat pada logam – Korona ini memberikan ikatan yang lebih kuat daripada porselin biasa kerana ia disambungkan pada struktur logam. Korona ini juga tahan lama.

Aloi emas – Korona ini merupakan gabungan emas, tembaga dan logam lain. Selain memberikan ikatan yang kuat pada gigi, ia tidak retak mahupun menghauskan gigi itu sendiri.

Aloi logam asas – Korona ini diperbuat daripada logam tidak adi yang mempunyai ketahanan tinggi terhadap hakisan, dan menjadi korona yang sangat kuat. Selain itu, bilangan gigi sihat yang perlu dikeluarkan sebelum korona ini dipasang adalah kurang sekali.

Perbezaan Antara Jenis Korona

Menurut Persatuan Pergigian Amerika (ADA), keupayaan pengapan korona porselin penuh bergantung pada bahan tampalan dan kualiti gigi asas, manakala yang tiga lagi menyediakan pengapan yang sangat baik terhadap kebocoran.

Korona aloi emas dan logam mempunyai daya tahan yang paling baik, manakala korona porselin penuh didapati kurang kuat, dan lebih mudah terjejas apabila terdedah kepada tekanan (misalnya, jika anda mengisar gigi anda pada waktu malam, ia boleh menjadi masalah). Sebaliknya, korona porselin terikat logam menawarkan daya tahan yang lebih baik. Kedua-dua korona berasaskan porselin mempunyai ketahanan tinggi terhadap kehausan, tetapi ia boleh memburukkan gigi yang bertentangan dengan cepat jika permukaan bersebelahan menjadi kasar. Secara kebetulan, aloi emas dan logam bukan sahaja mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap kehausan malah juga lembut pada gigi bertentangan.

Walaupun ada kalanya ia menjadi longgar atau tertanggal, korona boleh bertahan seumur hidup jika dijaga dengan betul. Cara terbaik untuk mencapainya ialah dengan penjagaan kesihatan mulut yang sempurna. Amalan memberus dan memflos dua kali sehari dapat memastikan kesihatan gigi anda terjaga setiap pagi dan malam. Gunakan berus gigi seperti Colgate® untuk memastikan gigi anda bersih, terutamanya gigi geraham belakang anda. Selain itu, penjadualan pemeriksaan berkala dengan doktor gigi anda adalah penting untuk mengekalkan kebersihan mulut yang baik supaya anda tidak perlu memilih daripada pelbagai jenis korona gigi ini.

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.