Membersihkan tempat letak berus gigi

Adakah Anda Perlu Sanitasikan Berus Gigi Anda?

Oleh kerana mulut dan begitu juga bilik air kita mengandungi bakteria, perkara biasa yang menjadi persoalan adalah sama ada berus gigi cukup bersih dengan hanya bilasan selepas memberus, terutamanya kerana sesetengah produk kini mendakwa mengandungi kuasa sanitasi. Cara sanitasi berus gigi, walau bagaimanapun, tidak sama dengan pensterilan. Sanitasi bermakna 99.9 peratus bakteria dikurangkan. Dengan pensterilan, semua organisma hidup dimusnahkan.

Tetapi adakah amalan sanitasi berus gigi satu keperluan atau pilihan?

Saranan Persatuan Pergigian Amerika

Menurut Persatuan Pergigian Amerika, tiada produk komersil yang boleh mensterilkan berus gigi dan ia juga tidak perlu. ADA menyatakan, "Tidak terdapat bukti klinikal yang mencukupi untuk menyokong bahawa pertumbuhan bakteria di berus gigi akan membawa kesan buruk kepada kesihatan mulut atau sistemik yang khusus."

Bakteria cenderung untuk tumbuh di tempat yang gelap, hangat dan lembap. Menutup atau menyimpan berus gigi anda dalam bekas tertutup mungkin membawa masalah. Biarkan berus gigi anda kering di dalam pemegang yang membolehkannya berdiri tanpa menyentuh bulu atau berus gigi lain. Menggantikan berus gigi anda setiap tiga bulan juga penting. Elakkan juga berkongsi berus gigi.

Memastikan Kebersihan

Kebanyakan kita hanya membilas kepala berus gigi sekali sebaik selesai memberus. Tetapi bilasan yang lebih menyeluruh dalam air suam memastikan sisa makanan dan baki ubat gigi tidak tertinggal di celah bulu berus gigi.

Walaupun ADA menyatakan yang tiada bukti klinikal bahawa merendam berus gigi dalam ubat kumur mulut antibakteria memberikan kesan positif, ia tidak akan merosakkan berus gigi anda. Jika anda mahu bersihkan berus gigi, kepala berus gigi harus direndam selama kira-kira 15 minit di dalam ubat kumur mulut. Lebih lama dari itu boleh merosakkan bulu. Selepas itu, jangan berkongsi atau menggunakan semula ubat kumur mulut yang digunakan itu.

Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) melarang daripada menggunakan pembasuh pinggan mangkuk atau gelombang mikro untuk menyahjangkit berus gigi. Malah CDC juga menyertakan peranti ultraungu dalam senarai barangan yang boleh merosakkan berus gigi.

Beberapa Pengecualian

Jika seseorang dalam keluarga anda sakit atau berisiko lebih tinggi terhadap jangkitan, pengambilan beberapa langkah pencegahan mungkin membantu bagi mengelakkan masalah. Menggantikan berus gigi lebih kerap, membeli berus gigi pakai buang dan menggunakan ubat kumur mulut antibakteria untuk berkumur dan merendam berus gigi boleh memberikan sedikit manfaat. Jika anda memilih untuk mencuba cara sanitasi berus gigi UV, produk tersebut harus diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat. Tetapi, anda harus ingat kembali bahawa sanitasi UV tidak akan menyingkirkan semua kuman. Oleh kerana cahaya ultraungu boleh merosakkan bulu, anda harus memeriksa dan menggantikan berus gigi anda dengan lebih kerap.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.