Mengajar Anak Cara Memberus Gigi dan Cara Memflos

Mengajar Anak Anda Cara Memberus Dan Memflos

Adalah penting untuk memulakan penjagaan mulut pada usia yang muda. Mempelajari tabiat kebersihan mulut yang baik pada usia muda adalah penting bagi kesihatan mulut jangka panjang. Ibu bapa boleh mengajar anak mereka cara memberus dan cara memflos dengan mengambil beberapa langkah utama.

Bila Harus Mula Memberus

Kebersihan mulut yang baik harus bermula seawal usia. Mulut bayi boleh dibersihkan setiap kali selepas minum susu. Mula dengan mengendong kepala bayi dengan satu tangan manakala menggunakan sebelah tangan untuk menyapu mulut bayi dengan kasa yang basah dan bersih, kain basah atau tisu xylitol. Gigi kanak-kanak harus diberus sebaik sahaja gigi pertama tumbuh.

Petua Umum Memberus Gigi

  • Berus gigi bayi dengan membasahkan berus gigi yang berbulu lembut dan bersesuaian dengan usia menggunakan air. Jika ubat gigi fluorida dipertimbangkan sebelum hari lahir pertama anak anda, lebih baik jika anda bertanya dahulu kepada doktor gigi atau pakar pediatrik.
  • Untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah, gunakan ubat gigi sejumlah sebesar saiz kacang pea dan awasi pemberusan gigi untuk mengelak dari tertelan. Jika mengambil fluorida dari sumber lain, dapatkan nasihat doktor gigi atau doktor.
  • Kanak-kanak berusia 6-8 tahun berkemungkinan mampu memberus gigi sendiri. Ibu bapa patut memeriksa gigi anak mereka jika mereka tidak pasti sama ada anak mereka ada tertinggal bahagian tertentu di dalam mulut.
  • Galakkan anak anda memberus sekurang-kurangnya dua kali sehari, pagi dan malam, menggunakan berus gigi berbulu lembut. Berus berbulu keras mungkin terlalu kasar untuk kanak-kanak kecil.
  • Berus gigi berkuasa bateri juga boleh digunakan untuk membersihkan dengan lembut lapisan melekit yang dipanggil plak, dari gigi dan gusi.
  • Berus gigi anak anda harus digantikan setiap tiga atau empat bulan, atau lebih cepat jika ia sudah lusuh atau kusut. Ia juga adalah idea yang baik untuk menggantikan berus gigi selepas demam atau selesema untuk mengelakkan kuman daripada merebak semula.
  • Kanak-kanak kecil (berusia kurang dari 2 tahun) harus meludah ubat gigi sebaik mungkin selepas memberus gigi dengan tunjuk ajar ibu bapa kerana mereka sedang mempelajari proses ekspektorasi (meludah) pada usia ini dan tambahan fluorida akan menggalakkan enamel gigi menjadi lebih kuat. Kanak-kanak (berusia 2 hingga 5 tahun) boleh berkumur dengan sedikit air selepas memberus gigi.

Langkah-langkah untuk Memberus dan Memflos

Kerana kanak-kanak kecil mungkin tidak tahu cara memberus gigi mereka dengan betul, ibu bapa harus memberikan bantuan. Ibu bapa boleh mengajar anak mereka cara memberus dan memflos dengan mengikuti langkah-langkah penting berikut:

Cara Memberus

  • Langkah 1: Untuk memberus gigi kanak-kanak dengan betul, ibu bapa atau kanak-kanak harus meletakkan berus gigi berbulu lembut pada sudut 45 darjah ke arah gusi pada gigi atas dan bawah.
  • Langkah 2: Berus gigi harus digerakkan secara perlahan dalam gerakan ke hadapan dan ke belakang dengan berusan pendek di sepanjang gigi dan gusi. Teknik ini harus diteruskan di sepanjang setiap permukaan dalam dan luar gigi dengan cara yang serupa.
  • Langkah 3: Hujung berus harus diletakkan pada kedudukan menegak untuk mencapai belakang gigi hadapan di bahagian atas dan bawah.
  • Langkah 4: Berus lidah untuk membuang bakteria di atas permukaan.

Bila Kanak-kanak Harus Memflos

Kanak-kanak harus mula memflos apabila permukaan gigi bersebelahan bersentuhan antara satu sama lain. Adalah penting untuk memflos sekurang-kurangnya sekali sehari. Plak bakteria dan makanan boleh terselit antara gigi, yang boleh membawa kepada penyakit gusi, kerosakan gigi dan halitosis. Lidah juga harus diberus untuk membuang plak bakteria.

Cara Memflos

  • Langkah 1: Pegang flos yang pendek antara ibu jari dan jari telunjuk, memintalkannya di sekeliling satu jari pada setiap hujung untuk mendapat kawalan yang lebih baik. Berhati-hati agar tidak mengenakan tekanan yang terlalu kuat apabila memasukkan flos antara gigi kanak-kanak itu.
  • Langkah 2: Laraskan flos menjadi lengkung bentuk 'C' di sekeliling setiap gigi dan luncurkannya ke atas dan bawah dengan perlahan di sepanjang sisi gigi dan di bawah garis gusi.
  • Langkah 3: Seksyen baru flos harus digunakan untuk setiap gigi untuk mengelakkan kemasukan semula makanan dan plak.
  • Langkah 4: Berus antara gigi boleh digunakan untuk membersih antara permukaan gigi yang mempunyai ruang.

Berterusan Sepanjang Hayat

Kunjungan klinik gigi dengan kerap boleh dan harus bermula seawal usia enam bulan selepas gigi pertama tumbuh atau selepas hari lahir pertama kanak-kanak. Apabila kanak-kanak diajar kemahiran baru pada usia yang muda, dia berkemungkinan meneruskan kelakuan ini sehingga dewasa. Mengajar teknik memberus dan memflos yang betul adalah penting bagi memupuk tabiat kebersihan mulut yang baik.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.