Penyebab Kaviti: Pembentukan dan Pencegahan

Ramai orang tertanya-tanya tentang penyebab kaviti; mereka ingin tahu cara mengelakkan masalah ini yang biasa berlaku dan menyebabkan ketidakselesaan, kesakitan dan kehilangan gigi. Kaviti ialah akibat daripada pereputan gigi iaitu proses yang melibatkan pelbagai peringkat. Menurut Mayo Clinic, ia bermula apabila bakteria merosakkan permukaan gigi yang keras dan kerosakan akan merebak ke dalam lapisan yang lebih dalam jika dibiarkan. Jika anda mudah mendapat kaviti, jangan bimbang kerana masalah ini biasanya boleh dicegah. Penjagaan gigi secara tetap dan diet yang sihat membantu menghalang pereputan mutiara mulut anda ini.

Peringkat Pembentukan Kaviti

Fasa pertama pereputan gigi melibatkan pembentukan plak. Beberapa jenis bakteria yang terbentuk secara semula jadi di dalam mulut anda membiak apabila anda mengambil makanan dan minuman yang mengandungi gula. Apabila gula tidak dibersihkan daripada gigi anda, bakteria memakan gula itu dan menghasilkan asid. Asid tersebut kemudiannya bergabung dengan bakteria, cebisan makanan dan air liur untuk membentuk plak iaitu lapisan melekit yang menyelaputi gigi.

Apabila plak terbentuk, asid menghakis enamel iaitu permukaan luar gigi yang keras. Bukaan kecil pada enamel ini menunjukkan peringkat pertama kaviti. Kemudian, asid dan bakteria menyerang lapisan gigi yang seterusnya iaitu bahan lebih lembut yang dipanggil dentin.

Bakteria dan plak terus merebak masuk ke dalam gigi hingga ke bahan gigi yang lebih dalam iaitu pulpa terjejas. Pada peringkat lanjut ini, pulpa menjadi terengsa dan tulang yang menyokong gigi juga boleh turut terjejas. Apabila pereputan mencapai tahap ini, anda akan mengalami rasa sensitif, sakit gigi dan sakit apabila menggigit. Jika serangan bakteria menyebabkan badan anda mengeluarkan sel darah putih untuk melawan, abses gigi mungkin terbentuk dan rawatan kanal akar mungkin perlu dilakukan.

Kaedah Pencegahan Kaviti

Pepatah mengatakan mencegah lebih baik daripada mengubati. Ketekunan dan ketekalan dalam penjagaan mulut sangat penting untuk membantu anda mengelakkan kaviti, antaranya memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan menggunakan flos sekurang-kurangnya sekali sehari. Gunakan berus gigi berbulu lembut yang direka untuk pembersihan yang mendalam. Jika anda tidak dapat memberus gigi selepas makan, kumur mulut anda dengan air sebersih-bersihnya.

Selain daripada penjagaan mulut, beberapa amalan pemakanan boleh melindungi gigi daripada kaviti. Mengambil makanan yang menyihatkan gigi seperti buah-buahan segar, sayuran, keju dan produk tenusu lain boleh membantu. Jangan minum minuman manis kerana ia mengandungi gula yang akan mempercepat proses pembentukan kaviti. Elakkan daripada kerap memakan snek dan minuman selain air kosong sepanjang hari untuk mengelakkan gigi anda diserang asid yang dihasilkan oleh bakteria yang terdapat di dalam mulut anda.

Masa Untuk Berjumpa Doktor Gigi

Oleh sebab tiada simptom yang dapat dikaitkan dengan peringkat awal pembentukan kaviti, anda perlu berjumpa doktor gigi sekali atau dua kali setahun untuk pembersihan dan pemeriksaan. Penting untuk anda mencari bahagian mulut yang bermasalah dan menghalangnya daripada berterusan sebelum merebak menjadi masalah yang lebih besar. Selain itu, jika anda mengalami sakit gigi atau rasa sensitif, buat janji temu dengan doktor gigi secepat mungkin.

Ingat bahawa punca kaviti yang paling utama ialah penjagaan mulut yang kurang memuaskan. Makanan yang tidak menyihatkan juga penyumbang besar kepada masalah ini. Walaupun pereputan gigi boleh membawa kepada kepada akibat yang sangat serius, amalan langkah-langkah pencegahan ini dapat mengurangkan risiko terjadinya kaviti. Jika anda memerlukan rawatan khas untuk mencegah kaviti, doktor gigi anda boleh memberikan nasihat tentang langkah yang perlu diambil untuk mengekalkan kesihatan gigi anda. 

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.