Untuk memahami sebab doktor gigi anda mungkin mempreskripsikan antibiotik untuk sakit gigi, anda mesti memahami cara bakteria mengakibatkan kereputan gigi dan sakit gigi terlebih dahulu. Tanpa memberus gigi dua kali sehari secara berkala dengan teknik yang betul, bakteria di dalam mulut anda boleh membiak dan menukarkan makanan yang anda makan menjadi asid yang kemudiannya mendap pada gigi anda. Hal ini menggalakkan pembentukan kaviti dan kereputan gigi. Seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengambilan gula yang kerap terutamanya boleh memacu pembiakan bakteria yang merosakkan struktur gigi. Jenis bakteria yang menyebabkan kaviti adalah mutan Streptokokus, seperti dalam nota kajian Malaysian Journal of Microbiology.
Apabila bakteria memecahkan permukaan gigi dan membentuk kaviti, ruang dalam gigi akan terdedah. Ruang dalaman ini mengandungi saraf yang memberikan gigi anda rasa sensasi. Apabila bakteria sampai ke ruang ini, bakteria boleh menyebabkan kesakitan dan membawa kepada masalah gigi lebih teruk yang mungkin memerlukan rawatan antibiotik.
Terdapat banyak punca sakit gigi seperti kaviti, tisu pulpa meradang dan gigi bernanah, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia. Mempunyai kaviti pada gigi tidak semestinya anda memerlukan antibiotik. Seperti yang dijelaskan oleh Malaysian Medical Gazette, kaviti boleh dirawat dengan tampalan atau mungkin korona berdasarkan bilangan gigi yang dijangkiti. Apabila jangkitan sampai ke saraf gigi, rawatan saluran akar dan penutup pelindung untuk mengelak bakteria masuk ke dalam gigi mungkin diperlukan. Selain itu, jika gigi telah rosak akibat kaviti sehingga tidak dapat dibaiki, doktor gigi mungkin perlu mencabut gigi tersebut.
Apabila jangkitan gigi menjadi teruk dan menjejaskan gusi di sekeliling gigi yang keluar, doktor gigi anda mungkin mengesyorkan antibiotik. Sebagai contoh, perikoronitis adalah jangkitan pada tisu gusi yang boleh merebak di sekitar gigi bongsu yang terjejas, seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pesakit dengan keadaan ini mungkin diberi antibiotik sebagai sebahagian daripada rawatan mereka.
Tambahan pula, jika doktor gigi anda menemukan tanda gigi bernanah iaitu jangkitan gigi yang boleh berkembang daripada kaviti yang tidak dirawat, mereka mungkin mengesyorkan antibiotik.
Untuk jangkitan gigi, doktor gigi selalunya akan mempreskripsikan penisilin atau amoksisilin. Klindamisin juga preskripsi alternatif untuk mereka yang alah terhadap penisilin. Doktor gigi anda akan memastikan dos dan tempoh ubat yang betul untuk situasi anda yang tertentu. Hal ini kerana preskripsi antibiotik berlebihan kadangkala boleh mewujudkan strain bakteria yang lebih kuat. Jadi doktor gigi anda juga akan mengambil kira rintangan antibiotik apabila mereka mempreskripsikan dos anda.
Makan ubat tepat pada waktu seperti yang ditetapkan oleh doktor gigi anda untuk hasil yang terbaik adalah penting. Ingatlah, walaupun sakit itu telah hilang, anda mungkin masih memerlukan rawatan lanjut untuk memulihkan gigi anda sepenuhnya.
Terdapat banyak cara untuk mencegah sakit gigi, seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Ikuti langkah-langkah ini akan dapat membantu anda mengurangkan risiko kaviti atau sakit gigi:
Anda boleh mengambil langkah untuk membantu mencegah kaviti dan jangkitan gigi. Walau bagaimanapun, jika anda sudah menjalankan langkah tersebut, ketahuilah bahawa doktor gigi anda ingin memberikan yang terbaik untuk anda jika mereka memberikan anda antibiotik untuk sakit gigi.
Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.