Sebab Penting Untuk Memakai Pelindung Mulut

Sebab Penting Untuk Memakai Pelindung Mulut

Pelindung mulut ialah plastik lembut atau peranti berlamina yang digunakan semasa bersukan bagi menghalang kecederaan pada bahagian mulut iaitu gigi, mulut, pipi, lidah dan rahang. American Dental Association mengunjurkan bahawa satu pertiga daripada semua kecederaan pergigian adalah berkaitan dengan sukan.1 Penggunaan pelindung mulut dapat menghalang lebih daripada 200,000 kecederaan mulut setiap tahun.

Jenis kecederaan pergigian yang boleh berlaku akibat tidak menggunakan pelindung mulut termasuklah gigi terserpih atau patah, keretakan korona atau jambatan, kecederaan bibir dan pipi, kerosakan pada akar gigi, rahang retak dan konkusi. Ahli sukan berisiko mengalami kecederaan mulut yang boleh dicegahkan dengan penggunaan pelindung mulut.

Pelindung mulut wajib dipakai dalam sukan yang melibatkan pelanggaran seperti bola sepak Amerika, hoki dan tinju yang berisiko berlaku kecederaan. Kanak-kanak dan orang dewasa yang terlibat dalam sukan yang melibatkan sentuhan secara tidak sengaja seperti bola keranjang, besbol, sofbol, gusti, bola sepak dan bola tampar boleh mempertimbangkan pemakaian pelindung mulut untuk mencegah kecederaan mulut.

Kajian tentang ahli sukan di sekolah menengah mendapati bahawa 75 peratus daripada kecederaan berlaku semasa pelindung mulut tidak dipakai dan 40 peratus berlaku semasa perlawanan besbol dan bola keranjang. Sembilan peratus daripada semua ahli sukan mengalami beberapa jenis kecederaan mulut manakala tiga peratus lagi melaporkan keadaan tidak sedarkan diri. Daripada semua kejadian konkusi, 56 peratus berlaku apabila pelindung mulut tidak dipakai. Trauma berkaitan sukan lebih lazim berlaku berbanding yang dilaporkan.2

Pemakaian pelindung mulut adalah penting untuk semua ahli sukan sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Untuk maklumat lanjut mengenai pelindung mulut yang sesuai untuk anda, rujuk kepada pakar pergigian anda.

 

© Hak Cipta 2009 Colgate-Palmolive Company

1 The North Carolina Dental Society Mouth Guard Project. Semak maklumat di www.ncdental.org.

2 McNutt T, Shannon SW Jr, Wright, JT, Feinstein, RA. Oral Trauma in Adolescent Athletes: A Study of Mouth Protectors. Pediatr Dent 1989;11:209-13.

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.