rawatan gigi pecah - colgate malaysia

Perkara Yang Perlu Dilakukan Apabila Gigi Patah

Gigi patah boleh mendatangkan trauma, namun tindakan pantas dan lawatan doktor gigi boleh memperbetulkan kerosakan penampilan dan membantu mencegah masalah jangka panjang. Gigi patah akibat hentaman kuat seperti yang berlaku dalam kemalangan kereta, sukan atau disebabkan oleh masalah pergigian seperti kaviti besar dan tampalan yang hilang. Walau apa pun puncanya, lawatan doktor pergigian diperlukan sama ada dengan segera atau secepat mungkin bergantung pada tahap keterukan gigi tersebut patah.

Perkara Yang Terjadi Apabila Gigi Patah

Gigi yang patah boleh terjadi akibat serpihan pada bahagian luar enamel yang keras atau kepada pecahnya sepenuhnya kawasan, mendedahkan dentin dan pulpa terdedah. Enamel gigi tidak mengandungi saraf atau saluran darah jadi kehilangan enamel mungkin tidak mendatangkan rasa sakit. Namun apabila dentin atau pulpa terdedah kepada udara, gigi sering kali akan terasa sakit. Bakteria boleh menjangkiti pulpa yang terdedah dari masa ke masa, menyebabkan lebih banyak kesakitan, perubahan warna enamel yang tinggal, dan gigi menjadi sensitif kepada perubahan suhu. Mungkin juga terdapat kesakitan akibat kecederaan yang menyebabkan gigi patah, sama ada dentin atau pulpa terdedah ataupun tidak.

Perkara Yang Anda Patut Lakukan

Jika gigi anda patah, adalah penting untuk megelakkan makanan keras dan menutup tepi tajam gigi yang tinggal dengan lilin gigi atau gula-gula getah untuk mengelakkan kerosakan gusi dan kesakitan pada pipi dan lidah.

Perkara Yang Perlu Dilakukan Apabila Gigi Patah:

  1. Kumpulkan kepingan yang patah dan letakkan di dalam bekas yang bersih dan kering untuk dibawa ke doktor gigi.
  2. Bilas gigi yang tinggal dengan air suam untuk membuang kotoran dan serpihan.
  3. Jika kecederaan tersebut mematahkan gigi, letakkan kompres sejuk pada kawasan tersebut untuk membantu mengelakkan bengkak.
  4. Hubungi doktor gigi anda untuk membuat janji temu. Jika anda terlihat dentin kuning atau pulpa merah dan terdedah, jumpa doktor gigi dengan segera.

Komplikasi Kecederaan Mulut:

Kadangkala gigi patah bukanlah satu-satunya akibat daripada kecederaan pada mulut. Jika anda mengalami trauma pada mulut anda, komplikasi lain yang mungkin timbul adalah:

Gigi sumbing —Jika anda tidak berasa sakit dan serpihannya kecil, terpulang kepada anda untuk memutuskan sama ada, bila dan cara gigi itu perlu dibaiki. Bergantung pada saiz serpihan, ia boleh dilicinkan atau dibetulkan penampilannya. Antara pilihan lain termasuklah venir, korona dan tampalan. Tanya doktor gigi anda untuk menerangkan tentang pilihan ini. Jika tampalan atau gigi tiruan menjadi sumbing, maka tampalan dan gigi tiruan tersebut harus diganti.

Gigi yang retak dan patah —Gigi yang retak dan patah haruslah diganti secepat mungkin bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan. Terapi saluran akar atau cabutan gigi mungkin diperlukan. Jika retakan menjejaskan enamel dan dentin gigi, maka rawatan yang terbaik selalunya adalah korona. Perlu diingat bahawa keretakan selalunya tidak kelihatan, walaupun pada imej sinar-X. Gejala mungkin melibatkan rasa sakit semasa mengunyah dan sensitif terhadap makanan dan cecair sejuk dan mungkin juga panas, serta udara yang mungkin lama kelamaan menjadi semakin ketara.

Gigi tercabut —Kunci kejayaan untuk memasang semula gigi tercabut adalah dengan memasukkannya semula ke dalam soket secepat mungkin. Dengan setiap minit yang berlalu, lebih banyak sel pada akar gigi akan mati. Jika boleh, bilas gigi dengan air sahaja kemudian tanam semula gigi di tapaknya dan terus jumpa doktor gigi secepat mungkin. Gigi hendaklah dicabut oleh korona sahaja dan tidak boleh dibiarkan kering. Peluang terbaik untuk berjaya adalah penanaman semula dalam tempoh 30 minit pertama namun masih ada peluang jika dilakukan dalam tempoh dua jam. Doktor gigi anda mungkin perlu membuat rawatan saluran akar dalam satu hingga dua minggu selepas gigi telah kembali stabil.

Gigi yang hilang secara kekal sama ada dicabut oleh doktor gigi atau tercabut secara tidak sengaja harus diganti. Antara pilihan untuk menggantikan gigi yang hilang termasuklah jambatan, gigi palsu dan implan.

Rahang patah —Jika anda mengesyaki anda atau orang lain mengalami patah rahang, jangan gerakkan rahang tersebut. Rahang harus diikat pada tempatnya dengan sapu tangan, tali leher atau tuala di sekitar rahang dan di atas kepala. Kompres sejuk harus digunakan untuk mengurangkan bengkak. Gegas ke wad kecemasan hospital atau hubungi pakar gigi.

Rawatan Selepas Kejadian

Rawatan yang betul untuk gigi patah bergantung pada tahap kerosakan. Pulpa gigi yang dijangkiti bakteria akan mati lewat masa. Pulpa gigi mesti dikeluarkan dan digantikan dengan tampalan plastik dalam prosedur saluran akar. Kadangkala pakar gigi harus menunggu untuk melihat sama ada saraf gigi tersebut telah mati. Sekiranya hal ini berlaku maka korona sementara harus diletakkan di atas gigi yang patah. Kalau pulpa tidak dijangkiti tetapi kepingan besar gigi hilang, maka korona akan memulihkan penampilan gigi. Selalunya gigi boleh dibaiki jika hanya serpihan kecil sahaja yang hilang.

Langkah pencegahan yang boleh diambil adalah elakkan mengunyah kiub ais dan gula-gula keras, memakai pelindung mulut jika anda mengisar gigi dan pakai pelindung mulut sukan. Semua langkah ini boleh mengelakkan gigi patah namun kemalangan masih boleh berlaku. Dengan mengikuti beberapa langkah mudah, anda boleh membantu pakar pergigian memberikan rawatan terbaik apabila gigi patah. Akhirnya, mereka akan memulihkan senyuman anda.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.