gigi palsu

Apakah Cara Mengatasi Kehilangan Gigi?

 

oleh Anne Maria Wynter

Anda mungkin terkejut untuk mengetahui bahawa anda tidak keseorangan jika set gigi kekal anda tidak lengkap. Malahan, menurut Persatuan Pergigian Amerika (ADA), kebanyakan orang dewasa dalam lingkungan umur antara 20 hingga 64 tahun mengalami sekurang-kurangnya tiga gigi yang rosak atau hilang.

Tidak kira sama ada anda kehilangan gigi dalam kemalangan atau terpaksa mencabutnya, gigi pengganti bukan sahaja dapat meningkatkan penampilan anda, malah juga dapat memperbaik cara anda mengunyah dan bercakap. Berikut adalah antara beberapa pilihan penggantian gigi yang mungkin disyorkan oleh pakar penjagaan kesihatan pergigian anda.

Implan Pergigian
Disebabkan ia ditanam melalui pembedahan, implan pergigian dapat menawarkan penyelesaian jangka panjang yang kukuh untuk penggantian gigi. Proses mendapatkan implan melibatkan tiga peringkat yang boleh berlangsung selama beberapa bulan. Meskipun memakan masa yang lama, ramai orang memilih implan pergigian kerana ia paling serupa dengan gigi asli dan tahan selama bertahun-tahun, malah juga hingga beberapa dekad lamanya.

Jambatan
Terdapat beberapa jenis jambatan gigi, yang merupakan alat yang merapatkan jurang di tempat gigi anda yang hilang. Tidak seperti implan pergigian, yang biasanya tidak menjejaskan gigi anda yang lain, jambatan selalunya disimenkan pada gigi anda yang bersebelahan untuk sokongan.

Gigi Palsu
Jika bilangan gigi anda yang hilang lebih tinggi, pakar penjagaan kesihatan pergigian anda mungkin mengesyorkan gigi palsu (dentur), yang merupakan aplians boleh tanggal dengan banyak gigi palsu. Gigi palsu penuh kelihatan dan berfungsi seakan-akan set gigi anda yang lengkap, manakala overdentur akan dimuatkan ke atas beberapa gigi yang tinggal. Membiasakan diri dengan pemakaian gigi palsu mungkin mengambil masa sedikit, tetapi selepas tempoh penyesuaian tertentu, ia mula berasa selesa dan seperti gigi asli.

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.