adakah mulut kering tanda sebarang penakit - colgate malaysia
Badge field

Fakta Tentang Mulut Kering

Mulut kering adalah masalah menggusarkan yang boleh menjadi kebiasaan bagi orang yang mempunyai gaya hidup, keadaan kesihatan dan mengambil ubat-ubatan tertentu. Tetapi apakah sebenarnya punca mulut kering? Apakah gejala mulut kering?

Apakah itu Mulut Kering?

Mulut anda dipenuhi ratusan kelenjar air liur kecil dan tiga set kelenjar air liur utama yang menyalurkan air liur ke mulut anda. Mulut kering (juga dikenali sebagai xerostomia) berlaku apabila kelenjar air liur anda kurang menghasilkan air liur.

Selain memastikan mulut anda berasa selesa dan lembap, air liur mempunyai banyak manfaat. Air liur membekalkan mineral kepada enamel gigi anda, menyingkirkan bahan makanan dan menyokong tisu lembut dan keras dalam mulut anda. Bersama-sama, faktor ini membantu mencegah kaviti dan penyakit gusi.

Anda mungkin menyedari bahawa anda mempunyai masalah bercakap, menelan atau mengunyah apabila mulut anda kering, jadi sebaiknya bendung masalah ini daripada melarat.

Faktor Risiko Mulut Kering

Sistem yang mengawal badan anda mempunyai kesalinghubungan yang menakjubkan. Hal ini bermakna kelenjar air liur anda boleh dipengaruhi oleh pelbagai sumber yang berpotensi, daripada keadaan perubatan lain kepada penggunaan dadah.

Secara asasnya, apa-apa sahaja yang menyebabkan anda mengalami dehidrasi (membuatkan anda sering ke bilik air) akan meningkatkan gejala mulut kering anda. Apa-apa sahaja yang menghidratkan anda (seperti minum banyak air) akan mengurangkan gejala anda.

Antara faktor risiko mulut kering termasuk:

  • Diabetes, sindrom Sjogren, dan keadaan kesihatan kronik yang lain
  • Ubat-ubatan (preskripsi dan tanpa preskripsi)
  • Merokok, penggunaan produk tembakau atau penyalahgunaan dadah
  • Pengambilan alkohol
  • Pengambilan kafein
  • Sejarah terapi radiasi
  • Lanjut usia
  • Kerosakan saraf
  • Kebimbangan

Komplikasi Mulut Kering

Mulut kering tidak hanya menyebabkan rasa tidak selesa. Oleh sebab air liur diperlukan untuk kesihatan gigi, gusi dan mulut, kekeringan kronik boleh menyebabkan:

  • Kesukaran mengunyah, bercakap, dan menelan
  • Kaviti gigi dan akar
  • Penyakit gusi (gingivitis dan periodontitis)
  • Ulser mulut
  • Bibir merekah
  • Makanan dan minuman berasa berbeza
  • Gigi palsu sukar melekat pada gusi anda
  • Suara garau
  • Sakit tekak
  • Nafas berbau (halitosis)

Pencegahan Mulut Kering

Sentiasa ingat bahawa mulut kering boleh membawa kepada masalah pergigian yang lain, jadi pencegahan adalah penting. Berikut ialah beberapa petua untuk menghadapi mulut kering untuk mengurangkan kebarangkalian anda mengalami masalah pergigian yang berkaitan.

  • Mengehadkan atau mengelakkan pengambilan alkohol dan kafein
  • Elakkan produk tembakau dan dadah terlarang
  • Memberus gigi selama dua minit dua kali sehari dan membersihkan celah gigi menggunakan flos atau pembersih antara gigi sekali sehari
  • Atur janji temu dengan pakar gigi anda sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk mencegah sebarang masalah yang mungkin timbul
  • Berunding dengan pakar perubatan anda tentang alternatif kepada ubat-ubatan yang menyebabkan mulut kering (anda tidak boleh mengubah dos anda sendiri)

Rawatan Mulut Kering

Langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk merawat mulut kering termasuk:

  • Minum lebih banyak air untuk mengelakkan dehidrasi
  • Menggunakan pelembap, terutamanya semasa tidur
  • Mengunyah gula-gula getah tanpa gula (xylitol) atau mengambil produk tenusu untuk menggalakkan penghasilan air liur
  • Tanya pakar gigi anda tentang penggunaan produk air liur tiruan atau ubat gigi, ubat kumur tanpa alkohol untuk mulut kering, atau gel yang direka untuk melembapkan mulut anda
  • Memilih produk yang mengandungi fluorida seperti ubat gigi, ubat kumur atau air (kebanyakan air paip mengandungi fluorida!) untuk membantu mencegah kaviti

Walaupun rumit untuk menangani mulut kering, terdapat banyak langkah yang boleh anda ambil untuk membantu menangani gejala anda. Tahniah diucapkan kepada anda yang telah membaca tentang keadaan kesihatan ini dan kini anda bersedia untuk mencegah mulut kering dan masalah pergigian yang berkaitan.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.