Ubat Preskripsi Dan Mulut Kering

Apa itu Mulut Kering?

Apa itu Mulut Kering?

Mulut kering bermakna anda tidak mempunyai air liur atau ludah yang mencukupi untuk memastikan mulut anda lembap. Semua orang mengalami masalah mulut kering sekali-sekala, terutamanya ketika gementar, marah atau tertekan. Walau bagaimanapun, jika mulut anda kering sepanjang masa atau pada kebanyakan masa, keadaan itu boleh menjadi tidak menyelesakan dan membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius atau menandakan keadaan perubatan yang lebih serius. Sebabnya, air liur bukan sekadar membasahkan mulut—ia juga membantu mencerna makanan, melindungi gigi daripada reput, mencegah jangkitan dengan mengawal bakteria di dalam mulut dan membolehkan anda mengunyah dan menelan.

Terdapat beberapa sebab mengapa kelenjar yang menghasilkan air liur yang dipanggil kelenjar air liur, tidak berfungsi dengan baik. Sebab-sebabnya termasuk:

  • Kesan sampingan sesetengah ubat — lebih 400 jenis ubat boleh menyebabkan mulut kering, termasuk antihistamin, dekongestan, ubat tahan sakit, diuretik dan ubat untuk tekanan darah tinggi dan kemurungan.
  • Penyakit — penyakit yang menjejaskan kelenjar air liur seperti diabetes, penyakit Hodgkin, penyakit Parkinson, HIV/AIDS dan sindrom Sjogren boleh menyebabkan mulut kering.
  • Terapi sinaran (radioterapi) — kelenjar air liur boleh rosak jika kepala atau leher anda terdedah kepada radiasi semasa rawatan kanser. Kehilangan air liur mungkin bersifat menyeluruh atau separa, kekal atau sementara.
  • Kemoterapi — ubat yang digunakan untuk merawat kanser boleh menjadikan air liur lebih pekat atau "bertali-tali" dan menyebabkan mulut anda berasa kering.
  • Menopaus — tahap hormon yang berubah mempengaruhi kelenjar air liur dan sering menyebabkan rasa mulut kering yang berterusan dalam kalangan wanita yang sedang menopaus dan selepas menopaus.
  • Merokok — ramai penghisap paip, cerut dan perokok tegar mengalami mulut kering.

 

Bagaimanakah Saya Tahu Jika Saya Mempunyai Mulut Kering?

Semua orang mengalami rasa mulut kering dari semasa ke semasa Hanya apabila rasa ini tidak hilang, anda mungkin mempunyai masalah dengan pengeluaran air liur. Simptom mulut kering termasuklah:

  • Rasa melekit dan kering di dalam mulut anda
  • Kesukaran menelan
  • Rasa pedih pada lidah anda
  • Rasa kering di kerongkong anda
  • Bibir merekah
  • Keupayaan merasa yang berkurangan atau rasa berlogam di dalam mulut anda
  • Luka mulut
  • Nafas kerap berbau
  • Kesukaran mengunyah/bercakap

 

Bagaimanakah Mulut Kering Dirawat?

Satu-satunya cara kekal untuk menyembuhkan mulut kering adalah dengan merawat puncanya. Jika mulut kering anda disebabkan oleh ubat, doktor anda mungkin menukarkan preskripsi atau dos ubat anda.Jika kelenjar air liur anda tidak berfungsi dengan baik tetapi masih menghasilkan air liur, doktor mungkin memberi anda ubat yang dapat memperbaikinya.

Jika penyebab mulut kering anda tidak dapat dihapuskan atau selagi masalah itu berterusan, anda boleh meningkatkan semula kelembapan mulut anda dengan beberapa cara lain. Doktor gigi anda boleh mengesyorkan pelembap mulut, seperti pengganti air liur. Berkumur dengan ubat kumur yang dirumus khas untuk membantu masalah mulut kering juga boleh memberikan kelegaan. Anda juga boleh:

  • Hirup air atau minuman tanpa gula dengan kerap
  • Elakkan minuman yang mengandungi kafein, seperti kopi, teh dan sesetengah soda, yang boleh menyebabkan mulut menjadi kering
  • Kunyah gula-gula getah tanpa gula atau hisap gula-gula keras tanpa gula untuk merangsang aliran air liur (jika sesetengah kelenjar air liur masih berfungsi)
  • Jangan gunakan tembakau atau alkohol yang mengeringkan mulut
  • Berwaspada bahawa makanan pedas atau masin boleh menyebabkan kesakitan pada mulut kering
  • Gunakan pelembap udara pada waktu malam

11/15/2010

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.