rawatan gusi menyusut - colgate my

Cara Mengenal Pasti Dan Menghentikan Penyusutan Gusi

Published date field Terakhir dikemaskini:

Dikaji Secara Perubatan Oleh Komunikasi Sains Global Colgate

Walaupun fokus terhadap mulut seseorang lebih kepada gigi, gusi yang sihat juga sama pentingnya. Gusi yang susut boleh menyebabkan kepekaan dan nafas berbau—ketahui kaedah yang ada untuk menghentikan penyusutan gusi bagi mengelakkan gejala yang tidak selesa ini.

Peranan Gusi

Gusi terdiri daripada tisu-tisu lembut. Gusi memberikan sokongan sambil menyelaputi gigi di semua sisi. Apabila sihat sepenuhnya, gusi melekap dengan kemas di sekeliling gigi. Penyusutan berlaku apabila garis gusi menjauh daripada gigi, lantas menjadikan gigi kelihatan lebih panjang daripada biasa. Penyusutan mungkin bukan satu-satunya gejala bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Lihat sama ada gusi anda sensitif. Itu akan memberitahu anda untuk menjadualkan konsultasi dengan doktor gigi anda. Berikut adalah beberapa tanda gusi sensitif yang harus diperhatikan.

  • Gusi bengkak dan menjadi lembut
  • Gusi mudah berdarah
  • Akibatnya, nafas berbau

Penyebab Penyusutan Gusi

Mengetahui gejala gusi yang susut ialah langkah pertama yang bagus. Sekarang, inilah masanya untuk fokus terhadap perkara yang boleh menyebabkan gejala tersebut:

  • Penjagaan mulut yang buruk. Mengabaikan penjagaan gigi dan gusi anda boleh menyebabkan keadaan seperti gingivitis dan penyakit periodontal.
  • Bruksisme. Jika anda fikir anda mempunyai tabiat menggesel gigi, jadualkan janji temu dengan doktor gigi anda.
  • Memberus terlalu kuat. Memberus gigi terlalu kuat mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
  • Genetik. Ibu dan ayah mungkin boleh disalahkan jika kedua-duanya mengalami gusi yang susut.
  • Trauma tisu gusi. Kecederaan gigi yang serius mungkin ialah dalangnya.

Menghentikan tabiat yang boleh anda kawal dapat menghalang proses penyusutan. Meningkatkan penjagaan mulut dan memberus gigi dengan lebih lembut boleh menghilangkan bakteria untuk membersihkan seluruh mulut, merupakan dua perubahan segera yang boleh anda buat.

Pilihan Rawatan

Menurut Mayo Clinic, sekiranya gusi anda menyusut sehinggakan mengubah tabiat tertentu tidak dapat mengatasi masalah itu, masih ada pilihan lain. Cantuman gusi adalah apabila pakar periodontik menggunakan tisu yang sihat untuk menutup dan membaiki kawasan yang terjejas. Ini ialah pembedahan periodontal yang agak standard yang memerlukan anestetik setempat. Terapi penjanaan semula ialah satu lagi pilihan pembedahan. Terapi ini direka untuk memulihkan tisu gusi dan membaiki tulang yang rosak atau hilang akibat penyakit periodontal. Kawasan gusi yang terjejas diselak melalui pembedahan dan pakar periodontik akan menghapuskan bakteria. Setelah kawasan tersebut dibersihkan, matriks atau protein tulang diletakkan di kawasan yang kehilangan tulang untuk merangsang pertumbuhan semula tulang dan tisu.

Mengukir senyuman yang lebar bermaksud mempamerkan gusi sama penting seperti menayangkan gigi anda. Perancangan yang baik untuk menjaga kesihatan seluruh mulut anda ialah faktor utama untuk menghentikan penyusutan gusi. Untuk bermula, berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, dan jangan lupa untuk memflos gigi setiap hari. Gabungan memberus dan memflos gigi menyingkirkan plak dan sisa makanan yang boleh menyumbang kepada penyakit gusi yang boleh menyebabkan penyusutan gusi. Akhir sekali, jangan lupa untuk menjadualkan pemeriksaan berkala dengan doktor gigi anda. Mereka pakar dalam mengenal pasti gusi yang menyusut dan membantu anda menyelesaikan masalah tersebut.