Graf Tulang untuk Implan Pergigian

Graf Tulang untuk Implan Pergigian: Memahami Kemungkinannya

oleh Katelynne Shepard

Bagi mereka yang kehilangan satu atau lebih gigi, kesan kosmetik daripada implan pergigian hampir tiada bandingannya. Implan pergigian kelihatan dan berfungsi sama seperti gigi biasa, dan implan yang berjaya hampir tidak dapat dikesan. Walau bagaimanapun, adalah sangat penting untuk memastikan anda memahami segala aspek pembedahan mulut. Demikian juga dengan implan pergigian. Salah satu perkara utama yang anda perlu tahu ialah kemungkinan memerlukan graf tulang untuk implan pergigian.

Implan pergigian pada dasarnya mempunyai dua bahagian: sebuah silinder logam yang diletakkan ke dalam tulang rahang dan berfungsi sebagai akar gigi, dan sebuah abutmen (penampan) yang diskru pada bahagian pertama. Korona kemudiannya diletakkan pada abutmen tersebut, untuk memberikan penampilan gigi.

Menurut American Association of Oral and Maxillofacial Surgeons (AAOMS), pakar bedah mulut anda mungkin akan berbincang dengan anda mengenai keperluan menjalani graf tulang untuk implan pergigian jika beliau mendapati tulang rahang anda terlalu nipis atau lembut untuk menyokong implan dalam keadaan semasanya. Jika tulang anda tidak dapat menyokong implan, pembedahan implan mungkin tidak akan berjaya.

Dalam prosedur graf tulang, pakar bedah akan mengambil sebahagian tulang dari bahagian lain badan anda, atau - sebagaimana yang sering dilakukan sekarang - menggunakan sejenis bahan graf tulang yang khas, untuk dicantumkan kepada tulang rahang anda. Anda kemudiannya akan perlu menunggu, besar kemungkinannya selama beberapa bulan, sementara graf tersebut menghasilkan tulang baru yang cukup kuat untuk memastikan bahawa implan kekal stabil dan tepat padanannya. Jika anda hanya memerlukan graf yang kecil, terdapat kemungkinan untuk menjalankan prosedur tersebut pada masa yang sama dengan pembedahan implan, namun ini terpulang kepada keputusan pakar pergigian anda. Graf tulang yang berjaya membolehkan tulang rahang anda menjadi cukup kuat untuk menyokong implan gigi anda.

Apabila graf tulang selesai, pembedahan implan yang seterusnya boleh berlangsung. Seperti mana-mana prosedur pembedahan, adalah penting untuk membincangkan sejarah perubatan peribadi anda dan segala risiko dan manfaat pembedahan berkenaan dengan pakar pergigian anda. Apabila doktor anda memutuskan bahawa anda merupakan calon yang sesuai untuk prosedur ini, anda boleh menanti-nantikan senyuman anda yang baru.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.