tekak kering - colgate my

Cara Mengatasi Tekak Kering

Sudah menjadi kebiasaan apabila kita bangun tidur dan menyedari bahawa tekak anda kering. Gejala yang menjengkelkan ini boleh menyukarkan kita untuk bercakap, menelan atau makan. Kami sedia membantu anda memahami penyebab tekak kering yang mungkin dan perkara yang perlu dilakukan.

Dehidrasi

Tahukah anda bahawa anda mempunyai ratusan kelenjar air liur yang membekalkan air liur ke mulut dan tekak anda? Kelenjar ini bergantung pada bekalan air yang berterusan untuk menjalankan tugas. Dehidrasi boleh menyebabkan kurang penghasilan air liur, serta tekak kering dan mulut kering.

Air liur membantu melincirkan tekak dan mulut anda, jadi penting untuk memastikan badan anda dapat menghasilkan air liur yang cukup untuk mengelakkan rasa kering. Sekiranya dehidrasi ialah masalah anda, rawatan di rumah yang berkesan untuk tekak kering mungkin semudah mencari cara untuk minum lebih banyak air. Untuk merangsang penghasilan air liur, pertimbangkan untuk mengunyah gula-gula getah tanpa gula atau mengambil produk tenusu.

Petua berguna: Menurut Penn Medicine, tidak ada satu cadangan jumlah air yang tepat untuk diminum. Panduan yang bagus untuk diikuti adalah bahawa anda harus minum sekitar setengah auns sehari bagi setiap paun berat anda pada hari biasa. Jadi, seseorang dengan berat 200 paun harus minum 100 auns air setiap hari. Jika anda tinggal di kawasan beriklim panas atau melakukan aktiviti berat, jumlahnya mungkin lebih tinggi.

Alahan

Demam alergi (juga dikenali sebagai rinitis alergi) berlaku apabila badan anda sensitif terhadap zarah yang masuk melalui saluran udara anda, meningkatkan pengeluaran mukus dan menyebabkan keradangan saluran hidung. Tindak balas ini boleh menyebabkan anda mengalami pelbagai gejala termasuk tekak kering.

Alergen dan perengsa seperti debunga, kelemumur, debu dan asap berkemungkinan mencetuskan demam alergi.

Sekiranya anda mengalami demam alergi, gejala anda mungkin termasuk:

  • Tekak kering atau mulut kering
  • Batuk
  • Hidung tersumbat atau berair
  • Kegatalan
  • Kepenatan

Demam alergi agak membimbangkan, tetapi ada pelbagai langkah yang boleh anda ambil untuk mencegah pendedahan dan menangani gejala anda.

Petua pencegahan dan rawatan termasuk:

  • Ubat-ubatan: Pilihan preskripsi dan tanpa preskripsi tersedia untuk mengurangkan beberapa gejala yang paling menjengkelkan, seperti hidung berair dan tekak kering. Pilihan ini merangkumi antihistamin, dekongestan, dan pilihan lain yang tersedia secara meluas.
  • Penyaman Udara: Elakkan kipas yang boleh mengitarkan zarah supaya penyaman udara dapat membantu menyingkirkannya daripada udara.
  • Lindungi mata anda: Pakai cermin mata hitam untuk menghalang zarah daripada masuk ke mata anda, dan cuba untuk tidak menggosok mata anda agar tidak memburukkan lagi keadaan.
  • Kekalkan persekitaran yang bersih: Penyingkiran perengsa atau alergen yang berpotensi secara berkala akan membantu mencegah episod atau mengurangkan gejala anda.

Selesema Biasa

Selesema biasa ialah, seperti namanya, sangat biasa berlaku. Menurut Pusat Perubatan Universiti Rochester, keadaan ini menyebabkan lebih ramai orang berjumpa dengan pakar penjagaan kesihatan dan tidak hadir bekerja berbanding keadaan lain. Ini disebabkan oleh lebih daripada 200 virus yang berbeza, walaupun semuanya menghasilkan gejala yang serupa.

Gejala selesema termasuklah:

  • Kahak dalam tekak anda
  • Gatal tekak
  • Hidung tersumbat atau berair
  • Demam
  • Kesakitan atau keletihan

Walaupun selesema tiada penawar, ada banyak langkah yang boleh anda ambil untuk mengurangkan gejalanya:

  • Minum banyak air dan banyakkan berehat
  • Gunakan ubat tanpa preskripsi seperti yang diarahkan pada bungkusan, seperti dekongestan, ubat batuk, antihistamin, atau ubat tahan sakit
  • Berkumur dengan campurangaram yang dilarutkan dalam air suam

Tahukah anda: Walaupun anda mungkin pernah terdengar daripada rakan dan saudara, selesema sebenarnya tidak disebabkan oleh terdedah kepada kesejukan atau kelembapan.

Bangun Tidur Dengan Tekak Kering

Sekiranya anda tidur dalam keadaan sihat tetapi bangun dengan tekak kering yang mengganggu, anda mungkin bernafas melalui mulut semasa tidur. Ini mungkin disebabkan oleh hidung atau tekak tersumbat, tidur terlentang atau keadaan perubatan yang lain.

Anda juga mungkin mengalami tekak kering pada waktu pagi jika anda menghidap apnea tidur, iaitu keadaan yang mengganggu pernafasan dan tidur anda. Apnea tidur ialah keadaan serius yang boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain, jadi sebaiknya berbincang dengan pakar perubatan anda.

Untuk mengelakkan bangun dengan tekak kering yang menjengkelkan, sebaiknya minum segelas air sebelum tidur untuk mencegah dehidrasi, elakkan tidur terlentang jika boleh, dan ambil langkah untuk melapangkan hidung supaya anda tidak bernafas melalui mulut anda.

Terdapat banyak penyebab yang mungkin mengakibatkan tekak kering, jadi anda harus memastikan dalangnya dan merawat punca sebenar. Memang sukar untuk melakukan sendiri perkara ini. Mujurlah, ada pakar perubatan yang dapat membantu anda dari segi diagnosis dan rawatan pakar. Sekarang, anda sudah tahu penyebab utama tekak kering anda dan bersedia untuk menangani gejala anda.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.