punca dan gejala gusi putih - colgate malaysia

Gusi Putih: Penyebab Dan Gejala

Pernahkah anda perasan bahawa badan anda cuba berkomunikasi dengan anda? Apabila anda letih, anda akan mendapati diri anda menguap secara automatik. Apabila anda lapar, anda mungkin mendengar perut anda berkeroncong. Begitu juga dengan kesihatan mulut anda! Apabila gusi anda berdarah, anda tahu anda perlu membuat janji temu dengan doktor pergigian anda. Tetapi bukan semua isyarat daripada badan kita kelihatan jelas. Sebagai contoh, pernahkah anda melihat bintik-bintik putih pada gusi anda? Pernahkah anda terfikir "Mengapa gusi saya putih?" Hal ini juga satu contoh apabila badan anda ingin berkomunikasi dengan anda. Teruskan membaca untuk mengetahui makna gusi putih.

Kenapa Gusi Anda Putih?

Gusi putih disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai leukoplakia. Kementerian Kesihatan Malaysia mentakrifkan leukoplakia sebagai keadaan di mana bintik atau tompok putih tebal terbentuk pada gusi, pipi dalam dan bahagian bawah mulut. Leukoplakia boleh juga terbentuk pada lidah. Tompok putih ini tidak boleh digosok atau dikikis.

Walau bagaimanapun, kebanyakan kes leukoplakia ialah benigna. Tetapi bagi kes tertentu, leukoplakia boleh jadi petanda awal kanser. Keadaan pra-kanser ini dikenali sebagai displasia. Displasia diklasifikasikan sebagai ringan, sederhana, dan teruk. Rawatan akan diberikan berdasarkan tahap displasia anda yang telah ditentukan kerana displasia teruk lebih berkemungkinan berubah menjadi kanser manakala displasia ringan mungkin sembuh sepenuhnya.

Apa Yang Menyebabkan Leukoplakia?

Walaupun dunia perubatan masih tidak dapat memastikan punca terjadinya leukoplakia, namun penggunaan tembakau dalam pelbagai bentuk dan penyalahgunaan alkohol kronik disyaki sebagai kemungkinan punca leukoplakia. Gigi palsu yang bergesel dengan lidah anda atau bahagian dalam pipi anda adalah kemungkinan punca lain leukoplakia.

Adakah Terdapat Gejala Lain Selain Tompok Putih?

Kini kita tahu bahawa leukoplakia menyebabkan tompok putih yang tidak boleh disingkirkan daripada gusi anda.

Beberapa perkara lain yang perlu diperhatikan adalah:

  • Tompok yang tidak sekata atau bertekstur rata
  • Bahagian mulut lain yang kelihatan menebal atau mengeras
  • Tompok putih yang muncul bersama lesi merah timbul (juga dikenali sebagai leukoplakia berbintik atau eritroplakia), yang lebih berkemungkinan menunjukkan perubahan pra-kanser

Patutkah Anda Berjumpa Doktor Gigi Anda?

Sudah tentu! Jika anda melihat tompokan putih terbentuk pada gusi anda, perkara pertama yang anda perlu dilakukan adalah mengadakan janji temu dengan doktor gigi anda. Memandangkan tompokan ini berkemungkinan membarah menjadi kanser, pengesanan awal penting supaya boleh dirawat sebelum ia menjadi lebih parah. Ambil perhatian apabila anda mula-mula melihat tompokan supaya anda boleh menyampaikan maklumat ini kepada doktor gigi atau pakar bedah mulut anda.

Menjadualkan pemeriksaan berkala dengan doktor gigi anda juga merupakan satu idea yang baik. Semasa pemeriksaan tersebut, doktor gigi anda mungkin dapat mengesan perkara yang anda tidak tahu seperti tanda awal leukoplakia.

Adalah wajar untuk berasa bimbang atau gusar jika anda melihat bintik-bintik putih pada gusi anda, tetapi menemukan bintik ini merupakan langkah pertama untuk mengawal masalah tersebut. Lain kali jika anda memeriksa mulut anda dan melihat gusi putih, ingatlah bahawa badan anda sedang cuba memberitahu suatu maklumat penting. Maka anda harus menyampaikannya pula kepada doktor gigi anda!

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.