Tanda-tanda Gigi Kekurangan Kalsium
Badge field

Kekurangan Kalsium: Tanda-tanda Dan Simptom Pada Gigi

Published date field

Apabila anda memikirkan tentang kesihatan tulang, anda mungkin membayangkan kepala, bahu, lutut dan jari kaki tanpa memikirkan tentang gigi walaupun gigi anda sebenarnya terdiri daripada bahan yang sama seperti tulang. Oleh itu, ia memerlukan penjagaan dan perhatian yang sama seperti tulang anda. Malangnya, umur, diet yang kurang baik dan faktor risiko lain boleh menjejaskan kekuatan mineral dan unsur di dalam gigi anda. Kalsium menguatkan tulang dan badan anda tetapi kekurangan kalsium di dalam gigi ialah perkara yang berbeza.

Kalsium dan Gigi

Gigi anda pada asasnya terdiri daripada bahan yang dipanggil kalsium fosfat berhablur atau hidroksiapatit yang boleh diganggap seperti bakul tenun: ia membentuk corak bersilang yang menguatkan dan melindungi saraf sensitif di dalam setiap gigi.

Menurut National Institutes of Health, Office of Dietary Supplements (NIHODS), paras kalsium dalam badan anda menyusut dan bertambah, terurai dan terbina semula bersilih ganti. Apabila anda menggunakan tulang dan gigi anda, hakisan semula jadi kalsium terjadi. Mujurlah badan anda dapat mengatasi hakisan ini dan menggantikan semula kalsium yang hilang dengan cepat. Tambahan pula, menurut NIHODS, badan anda cukup cekap menyimpan lebihan kalsium dalam tulang dan gigi anda serta menahan hakisan dan kepatahan.

Apabila badan anda menguraikan kalsium lebih cepat daripada membinanya semula atas apa jua sebab, inilah saatnya gigi anda mengalami kekurangan kalsium dan masalah kesihatan lain. Beberapa faktor risiko yang menyebabkan keadaan ini berlaku ialah usia lanjut, tidak mendapat kalsium secukupnya daripada diet dan jika anda seorang perempuan.

Tanda-tanda dan Simptom Gigi Kekurangan Kalsium

Oleh sebab anda tidak dapat melihat secara kasar kalsium terurai dan terbina semula di dalam badan anda, anda mungkin tidak serta-merta sedar bahawa anda kekurangan kalsium. NIHODS memberikan amaran terhadap simptom awal kekurangan kalsium yang teruk, seperti jisim tulang yang rendah, tulang patah, menggigil (konvulsi) dan kejang serta ritma denyutan jantung yang tidak normal. Anda mungkin sedar kaviti anda lebih banyak daripada biasa atau gigi anda mudah terserpih dan patah.

Berita baik jika kekurangan kalsium disedari dengan segera - anda dapat berusaha menjadikan badan anda lebih cekap untuk menggantikan kalsium yang hilang dan menguatkan tulang dan gigi. Jika masalah kekurangan kalsium tidak disedari, anda terdedah kepada risiko yang lebih tinggi untuk mendapat osteoporosis iaitu keadaan serius yang mengakibatkan tulang rapuh dan poros serta mudah patah dan boleh menjejaskan kualiti hidup anda dengan serius.

Menguatkan Enamel

Untuk meningkatkan kalsium dalam badan anda serta menguatkan gigi dan tulang, American Dental Association mengesyorkan diet yang tinggi dengan susu dan product yogurt tanpa gula. Makanan tinggi kalsium dapat membantu menahan hakisan gigi. Jika anda masih tidak mendapat kalsium secukupnya, dapatkan nasihat daripada doktor anda tentang pengambilan makanan tambahan kalsium harian untuk menguatkan lagi perlindungan tulang, gigi dan badan anda. Bertukar kepada ubat gigi yang dirumus khas untuk menguatkan enamel gigi juga merupakan satu idea yang baik. Ia membantu menguatkan enamel dan menambah semula kalsium semula jadi.

Anda mahu tulang dan gigi anda kekal kuat demi kesihatan yang baik selama bertahun-tahun. Nasib baik kerana badan anda boleh menyimpan dan menambah semula kalsium yang hilang. Sungguhpun begitu, anda boleh memainkan peranan dengan mengamalkan diet tinggi kalsium dan menggunakan produk yang betul untuk mencegah kekurangan kalsium dan memastikan badan anda – dan juga senyuman anda – dalam keadaan baik.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.