Kanal Akar

Adakah Saya Memerlukan Kanal Akar?

 

oleh Rebecca Desfosse

Jika anda mengalami masalah dengan mana-mana gigi, anda mungkin tertanya-tanya, "Adakah saya memerlukan kanal akar?" Menurut Persatuan Pergigian Amerika, kanal akar, juga dikenali sebagai terapi endodontik, dijalankan apabila saraf atau pulpa gigi dijangkiti kuman dan meradang akibat kerosakan gigi, gigi retak atau patah atau kecederaan pada gigi. Semasa prosedur berkenaan, doktor gigi menggunakan gerudi untuk membuang saraf dan pulpa dan menutup gigi untuk melindunginya daripada kerosakan selanjutnya. Hanya doktor gigi anda atau pakar pergigian yang dikenali sebagai pakar endodontik yang boleh menentukan sama ada kanal akar dapat merawat masalah anda dengan sewajarnya. Berikut adalah beberapa simptom yang mungkin mewajarkan keperluan menjalani prosedur kanal akar dan beberapa langkah untuk menanganinya.

Simptom Am yang Mungkin

Menurut American Association of Endodontists, simptom paling biasa yang mungkin memberi indikasi akan perlunya kanal akar adalah sakit gigi. Keamatan kesakitan boleh bermula dari ringan hingga teruk; ia mungkin berkurangan atau semakin teruk sepanjang hari, atau ia mungkin bertambah teruk hanya apabila anda menggigit dengan gigi tersebut. Sesetengah pesakit mengalami sensitiviti yang berpanjangan terhadap makanan atau cecair panas. Gusi anda juga mungkin berasa nyeri dan bengkak berhampiran gigi yang bermasalah.

Langkah-langkah Pertama

Jika anda perasan mana-mana simptom di atas, hubungi doktor gigi anda dengan segera. Terangkan simptom anda melalui telefon kepada ahli kakitangan, yang mungkin meminta anda untuk datang serta-merta atau mungkin mengesyorkan rawatan kecemasan bergantung pada keterukan simptom anda. Untuk melegakan kesakitan dan mengurangkan bengkak, letakkan beg ais pada bahagian luar rahang anda.

Langkah-langkah yang Diambil oleh Doktor Gigi Anda

Apabila anda datang untuk janji temu anda, doktor gigi anda akan memeriksa gigi anda dan mengambil X-ray untuk mendiagnosis punca masalah anda. Selepas pemeriksaan yang betul, doktor gigi anda akan dapat memberitahu anda tindakan terbaik untuk menyelesaikan simptom anda atau meminta anda melawat pakar endodontik, pakar yang merawat kerosakan saraf pada gigi. Bergantung pada punca masalah tersebut, doktor gigi anda mungkin mengesyorkan kanal akar atau prosedur pergigian yang sama sekali berbeza dan mungkin kurang invasif berdasarkan diagnosis yang dibuat.

Hanya doktor gigi anda yang boleh menjawab soalan: "Adakah saya memerlukan kanal akar?" Hubungi doktor gigi anda dengan segera jika anda mengalami sakit gigi, bengkak atau nyeri untuk memastikan anda mendapat rawatan yang baik.

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.