Pilih berus gigi kanak-kanak - colgate my

Berus Gigi Kanak-kanak: Pilihan Yang Sesuai Untuk Anak Anda

Memilih berus gigi untuk anak anda mungkin merunsingkan apabila terdapat terlalu banyak pilihan. Berus gigi kanak-kanak berbeza dari segi saiz dan bentuk bergantung pada keperluan dan kebolehan, kedua-duanya berubah apabila kanak-kanak membesar. Beberapa garis panduan mudah boleh membantu anda memilih berus gigi yang membersihkan gigi anak anda secara berkesan dan menggalakkan tabiat penjagaan gigi yang baik pada masa yang sama.

Berus Gigi Kanak-kanak

Tanpa mengira umur mereka, berus gigi anak anda harus muat dengan selesa di dalam mulut mereka dan mudah untuk dipegang dan dikawal. Pilih berus gigi dengan bulu lembut yang diperbuat daripada bahan yang hujungnya bulat atau "halus". Kepala berus jenis ini membersihkan gigi kanak-kanak dengan baik namun tidak kasar pada gusi mereka. Ia juga penting supaya berus gigi anak anda menarik perhatian mereka agar mereka seronok menggunakannya setiap pagi dan malam.

Bayi dan Kanak-kanak Kecil

Walaupun ramai ibu bapa masih menggunakan kain lembap atau kasa, anda boleh mula menggunakan berus gigi lembut untuk bayi anda walaupun dia belum mempunyai gigi, menurut Pusat Pergigian Pediatrik di Fakulti Pergigian Universiti Washington. Berus gigi untuk bayi boleh didapati dalam warna yang terang dan mempunyai kepala yang sangat kecil direka bentuk khas untuk muat di dalam mulut bayi anda. Memberus mulut bayi anda memastikan gusinya bersih dan membantu membiasakannya dengan rutin memberus gigi dua kali sehari.

Apabila berusia dua tahun, anak kecil anda berkemungkinan mahu melibatkan diri semasa memberus gigi. Berus gigi kanak-kanak kecil mempunyai kepala kecil dan pemegang besar dengan cengkaman lembut yang senang dipegang oleh tangan kecil. Pada usia ini, anak anda belum mempunyai kawalan untuk memberus gigi mereka sendiri dengan berkesan, tetapi mereka boleh bergilir-gilir selepas Ibu atau Ayah. Berus gigi berkuasa elektrik tersedia untuk julat usia ini dan kanak-kanak yang lebih besar, malah ia menarik dan menyeronokkan bagi kanak-kanak kecil.

Umur Lima hingga Lapan Tahun

Antara usia lima hingga lapan tahun, anak anda semakin bersedia untuk berdikari dengan penjagaan kesihatan giginya. Berus gigi untuk kanak-kanak usia ini mempunyai pemegang yang lebih kecil daripada berus gigi kanak-kanak kecil agar sesuai dengan cengkaman kanak-kanak yang lebih cekap dan rahang yang lebih besar. Kanak-kanak kecil juga mula menunjukkan kemahiran mereka untuk membersihkan gigi mereka dengan berkesan, menurut Akademi Pergigian Pediatrik Amerika, tetapi masih perlu diselia semasa mereka memberus gigi. Kebanyakan berus gigi untuk kanak-kanak dalam julat usia ini (dan lebih muda) adalah berdasarkan watak kartun popular. Ia direka bentuk khas untuk kanak-kanak berusia 5 tahun dan ke atas yang mempunyai gabungan gigi susu dan gigi kekal. Memilih watak kegemaran anak anda dapat membantu mengekalkan minat mereka untuk memberus gigi.

Praremaja

Kanak-kanak yang berusia lapan tahun ke atas sebenarnya boleh memberus gigi mereka sendiri. Berus gigi mereka kelihatan serupa dengan produk dewasa, tetapi masih mempunyai kepala yang lebih kecil dan pemegang yang lebih besar. Kedua-dua berus gigi berkuasa elektrik dan manual sesuai digunakan oleh kanak-kanak praremaja. Walaupun kedua-dua jenis membersih gigi dan gusi sama baik, Persatuan Pergigian Amerika (ADA), mengatakan berus gigi berkuasa boleh memudahkan proses memberus untuk kanak-kanak yang sukar menggunakan berus manual dengan berkesan.

Menggunakan Berus Gigi

Berus gigi kanak-kanak adalah penting bagi penjagaan kesihatan mulut yang baik, tetapi sekadar membeli berus gigi yang betul untuk anak anda tidak dapat menjamin gigi yang bersih dan sihat. Berus gigi harus digunakan selepas sarapan dan sebelum tidur, dan gigi harus diflos sekali sehari sebaik sahaja dua gigi bersentuhan. Apabila berus mula kusut dan tidak lagi tegak ​– atau selepas tiga bulan, yang mana lebih awal ​– tiba masa untuk membeli berus gigi baru. Berus gigi kanak-kanak selalunya perlu digantikan dengan lebih kerap berbanding berus gigi dewasa, menurut ADA.

Membeli berus gigi yang betul untuk anak anda bukan hanya memastikan dia mempunyai gigi dan gusi yang bersih; ia juga memupuk tabiat kesihatan mulut yang baik yang akan kekal sepanjang hayatnya. Ikuti garis panduan julat umur pada pembungkusan dan libatkan anak anda semasa memilih berus gigi baru supaya dia mempunyai berus yang muat dengan baik di dalam mulutnya, selesa dipegang dan seronok gunakan.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.