Pelega Sakit Gigi Semula Jadi
Badge field

Pelega Sakit Gigi Semula Jadi

Published date field

Kebanyakan sakit gigi disebabkan oleh saraf (pulpa) gigi yang sensitif disebabkan oleh pereputan, kecederaan pada gigi dan jangkitan. Anda juga mungkin menghidap penyakit gusi, gigi retak atau jangkitan sinus yang juga boleh menyebabkan kesakitan melampau. Walaupun anda mungkin memerlukan pertolongan pakar pergigian untuk memulihkan gigi dan mengatasi kesakitan tersebut, cubalah rawatan semula jadi ini untuk membantu anda melegakan sakit gigi jika pertolongan pakar tidak boleh didapati dengan segera.

Berkumur dengan Air Garam

Memasukkan air panas atau sejuk ke dalam mulut anda boleh menyebabkan kejutan pada gigi anda yang sudah sensitif. Berkumur dengan air garam yang suam mungkin dapat membantu. Campurkan beberapa sudu teh garam halus ke dalam segelas air suam, kemudian kumur mulut dengan campuran ini. Selain mengurangkan kesakitan dan membersihkan kawasan yang dijangkiti, garam juga membantu mengeluarkan cecair berlebihan di sekitar tisu gusi yang bengkak.

Letakkan Ais untuk Menghentikan Keradangan

Keadaan sejuk membantu mengurangkan kesakitan dan pembengkakan saraf superfisial. Oleh itu, meletakkan pek ais yang dibungkus dengan tuala pada muka dapat membantu mengurangkan rasa sakit. Walau bagaimanapun, jangan sekali-kali meletakkan ais terus pada gigi. Minuman yang sangat sejuk juga boleh menyebabkan kesakitan jika akar gigi sudah terjejas; begitu juga dengan minuman panas dan makanan bergula.

Sapukan Minyak Cengkih

Minyak cengkih ialah minyak pati yang terdapat di kedai makanan kesihatan yang dapat membantu melegakan sakit gigi. Titiskan beberapa titik minyak cengkih pada bebola kapas, kemudian sapukannya pada gigi yang terjejas. Jika minyak cengkih terlalu pekat, cairkannya dengan sedikit minyak zaitun.

Senaman Mungkin Membantu

Anda mungkin tidak berdaya untuk bergerak seperti biasa jika anda mengalami sakit gigi yang berdenyut, tetapi bagi orang yang biasa bersenam, pergerakan anggota badan dapat mengeluarkan endorfin yang melegakan sakit secara semula jadi. Anda mungkin mendapati berjalan pantas membantu melegakan kesakitan yang dialami.

Merehatkan Minda dan Badan

Merehatkan badan anda dapat mengurangkan sedikit sakit gigi anda. Pandu fikiran anda untuk relaks dengan menumpukan perhatian pada sesuatu yang menyenangkan, berlatih pernafasan dalam dan mendengar muzik yang menenangkan -- aktiviti ini diharapkan dapat mengalihkan perhatian anda daripada kesakitan. Jika semuanya gagal, cuba analgesik; apa-apa sahaja yang boleh diambil untuk melegakan sakit kepala, seperti aspirin, ibuprofen atau asetaminofen yang boleh membantu menahan kesakitan sehingga anda berpeluang berjumpa doktor gigi.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.