Apa yang punca gigi sensitif? - colgate

Punca Kepekaan Gigi & Cara Rawatan

Jika anda mengelak daripada makan makanan sejuk atau minum minuman panas kerana gigi anda sensitif, mungkin sudah tiba masanya untuk merungkai keadaan yang menyakitkan ini. Jadi, apakah punca gigi sensitif? Ini mungkin disebabkan oleh beberapa masalah gigi pendasar, tetapi diagnosis dan pelan rawatan bermula dengan doktor gigi anda.

Apakah Itu Kepekaan Gigi?

Gigi sensitif berlaku apabila lapisan luar yang melindungi gigi, iaitu enamel atau cementum terhakis sehingga menyebabkan pendedahan lapisan dentin. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dentin terdiri daripada lubang-lubang kecil yang dipanggil tubul. Di hujung tubul-tubul ini terkandung cabang saraf yang berasal daripada pulpa gigi (pusat saraf gigi). Apabila lapisan dentin yang terdedah ini bersentuh dengan sesuatu yang sejuk contohnya, cabang saraf di dalam gigi akan dirangsang dan ini menyebabkan kesakitan gigi sensitif.

Apakah Itu Kepekaan Gigi?

Pelbagai perkara boleh menyebabkan kepekaan gigi. Beberapa punca yang paling biasa termasuk:

  • Enamel gigi yang haus kerana menggunakan berus gigi yang keras dan memberus gigi secara agresif.
  • Hakisan gigi akibat makanan dan minuman yang sangat berasid.
  • Kereputan gigi, tampalan yang haus dan bocor serta gigi pecah yang mendedahkan dentin gigi anda.
  • Penyusutan gusi yang menyebabkan permukaan akar anda terdedah.
  • Mengisar gigi anda pada waktu malam.
  • Kepekaan selepas rawatan pergigian adalah biasa tetapi sementara, terutamanya untuk korona, tampalan dan pelunturan gigi.

Gigi Sensitif dan Umur

Gigi sensitif boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian mendapati bahawa orang dewasa berumur antara 20 hingga 50 tahun lebih berkemungkinan melaporkan gigi sensitif di mana tempoh puncak hipersensitiviti dentin berlaku pada umur 30 hingga 40 tahun. Walaupun sebab sebenar hal ini tidak diketahui, ini mungkin berkaitan dengan fakta bahawa struktur fizikal gigi berubah mengikut umur. Walau bagaimanapun, individu yang lebih tua lebih berkemungkinan mengalami gusi menyusut, iaitu salah satu punca gigi sensitif. Kadangkala isu utama ialah kehausan pada enamel gigi, yang berlaku dari semasa ke semasa.

Bagaimanakah Anda Merawat Kepekaan Gigi?

Rawatan Klinik

Oleh sebab masalah pergigian yang lebih rumit kerap menyebabkan gigi sangat sensitif, adalah penting untuk berjumpa doktor gigi dan mendapatkan rawatan secara langsung. Penyelesaiannya mungkin melibatkan korona, inlai atau ikatan, bergantung pada keterukan masalah. Jika anda menghidap penyakit gusi yang telah berkembang kepada peringkat kronik atau lanjut, anda juga perlu merawat keadaan ini. Doktor gigi anda boleh membantu membuat pelan rawatan.

Jika anda telah kehilangan tisu gusi daripada akar, doktor gigi anda mungkin mengesyorkan pembedahan graf gusi untuk menutup akar supaya dilindungi semula. Jika anda mengalami kesakitan gigi yang bertambah teruk, doktor anda mungkin akan mengambil radiograf periapeks gigi untuk mengesahkan sama ada rawatan salur akar diperlukan, yang menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, membantu membuang bahagian yang rosak.

Rawatan di Rumah

Jika kepekaan gigi anda kurang teruk, anda boleh merawat keadaan ini dengan beberapa cara mudah di rumah. Anda mungkin boleh mendapatkan sedikit kelegaan daripada ubat gigi penyahpekaan yang membantu melindungi permukaan gigi. Doktor gigi anda mungkin juga mengesyorkan rawatan gel fluorida untuk menguatkan enamel gigi semasa anda dan mengurangkan sensasi yang dihantar ke saraf.

Walau bagaimanapun, rawatan terbaik untuk kepekaan gigi ialah pencegahan. Sebaik sahaja enamel gigi anda haus, anda tidak boleh mendapatkan semula enamel tersebut. Teknik memberus gigi dan memflos yang betul boleh mengelakkan gigi sensitif. Ini akan menggalakkan gigi dan gusi yang sihat tidak kira betapa sensitifnya gigi anda. Berhati-hati agar tidak memberus gigi terlalu kuat, kerana ini boleh menghauskan enamel gigi dari masa ke masa. Cuba gunakan berus gigi berbulu lembut dan ubat gigi penyahpekaan untuk membantu melindungi enamel anda.

Pada janji temu anda yang seterusnya, berbincanglah dengan doktor gigi anda jika anda mengalami kepekaan gigi. Beliau boleh memberikan diagnosis yang betul dan mengesyorkan pilihan rawatan untuk mengembalikan senyuman anda yang indah.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.