Venir

Apa Itu Venir Dan Bagaimana Anda Harus Menjaganya?

 

oleh Tricia Mool

Venir yang bersesuaian adalah cara cepat untuk mendapatkan senyuman yang cantik, dan rawatan ini paling sesuai untuk mereka yang mempunyai gigi dengan kesan kotoran, gigi terserpih atau ruang antara gigi. Namun, disebabkan venir merupakan rawatan tak berbalik, memilih prosedur ini adalah keputusan besar. Sebelum anda dan doktor gigi anda memutuskan bahawa prosedur tersebut bersesuaian untuk anda, anda harus mendapatkan dahulu maklumat yang tepat mengenai venir, kosnya dan cara terbaik untuk menjaganya.

Apakah itu Venir?

Menurut Akademi Pergigian Kosmetik Amerika (AACD), venir adalah "kepingan porselin nipis yang digunakan untuk menghasilkan semula rupa gigi asli, di samping memberikan kekuatan dan ketahanan yang setanding dengan enamel gigi asli." Ia dibuat sesuai dengan kontur gigi anda dan dilekatkan pada enamel asal gigi dalam beberapa sesi prosedur di klinik.

Mengapakah Venir Digunakan dalam Amalan Pergigian?

Venir adalah pilihan yang kurang mengganggu berbanding korona atau pendakap gigi. Menurut British Dental Health Foundation venir boleh digunakan untuk menutup ruang atau melaraskan salah jajaran kecil. Pesakit juga memilih venir sebagai penyelesaian kosmetik untuk mencerahkan lagi gigi mereka serta menjajarkan senyuman mereka, membetulkan isu-isu seperti perubahan warna, keretakan atau gigi terserpih.

Venir Porselin

Bahan yang paling lazim digunakan untuk venir ialah venir porselin konvensional dan Lumineer serta venir resin komposit. Menurut AACD, venir porselin lebih elok untuk membetulkan masalah bentuk atau warna dan boleh tahan antara 10 hingga 20 tahun. Kosnya berada dalam lingkungan RM800 hingga RM1000 bagi setiap gigi bergantung pada kawasan tempat tinggal anda. Kos ini mungkin tinggi untuk kebanyakan pengguna, maka adalah penting untuk ketahui bahawa venir perlu diganti juga akhirnya.

Memasang Venir

Prosedur ini biasanya memerlukan satu hingga dua lawatan ke klinik. Jika venir tersebut jenis pasang siap, ia biasanya dapat disiapkan dalam satu lawatan, manakala jika venir disediakan di makmal, ia melibatkan dua lawatan. Kami akan lebih tertumpu pada pemasangan venir porselin yang dihasilkan di makmal:

  1. Anestesia setempat biasanya tidak diperlukan ketika memasang venir. Walau bagaimanapun, bergantung pada kepekaan pesakit, ia boleh digunakan jika perlu. Doktor gigi akan membersihkan gigi dan menentukan warna yang sesuai untuk venir. Doktor gigi akan mengurangkan sedikit enamel gigi untuk menyediakan ruang untuk memasang venir pada gigi.

  2. Acuan (impresi) gigi akan diambil untuk makmal dan venir sementara akan dipasang pada gigi dengan penggoresan tompok pada bahagian tengah gigi, jauh daripada pinggirnya.

  3. Selepas makmal menyerahkan venir porselin kepada doktor gigi anda, venir sementara akan dikeluarkan dan gigi akan dibersihkan dengan pumis dan air. Venir kemudiannya digores, dibilas dengan sebersih-bersihnya dengan air dan dikeringkan dengan udara. Pelekat diletakkan pada penyediaan ini dan selepas itu, simen dan venir dipasang untuk kepadanan dan kontur yang tepat.

  4. Venir tersebut kemudiannya dikeraskan dengan cahaya pempolimeran selama 60 saat pada semua permukaannya untuk dimuatkan pada struktur gigi.

  5. Doktor gigi anda akan membuang sebarang bahan lebihan dan menggilap pinggir venir tersebut.

Kebanyakan doktor gigi akan menjadualkan lawatan susulan untuk memeriksa keselesaan pemasangannya; venir yang selesa adalah venir yang tahan lama.

Penjagaan Venir

AACD mencadangkan agar memberus dan memflos venir seperti yang anda lakukan dengan gigi normal anda. Pemberusan harian yang betul, dan penggunaan ubat gigi fluorida tanpa pelelas digalakkan. Cuba hadkan kopi dan makanan lain yang boleh meninggalkan kesan kotoran.

Ingat bahawa sebaik mana sekalipun anda menjaganya, venir masih perlu diganti pada suatu peringkat. Namun, kebersihan mulut yang baik dapat membantunya tahan seberapa lama yang mungkin.

Sebelum membuat keputusan tentang venir, berbincang dahulu dengan doktor gigi anda dan pastikan anda memahami setiap bahagian proses dan kosnya. Senyuman yang indah bukan sahaja terasa hebat malah juga boleh meningkatkan keyakinan dan kesejahteraan anda.

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.