10 Cara Mengatasi Bau Mulut

Sepuluh Cara Menghilangkan Nafas Berbau

Nafas berbau adalah isu yang memalukan dan boleh menjejaskan kehidupan sosial anda. Mujurnya masalah ini sering boleh diperbaiki melalui penjagaan mulut yang baik di samping mengelakkan minuman dan makanan yang boleh memburukkan keadaan. Cara lain untuk menghilangkan nafas berbau seperti mengunyah herba dan rempah tertentu, kekal terhidrat dan menahan diri daripada merokok, juga boleh membawa perubahan. Mengetahui amalan yang boleh membantu keadaan dan amalan yang boleh memburukkan keadaan membolehkan anda menangani masalah dari awal.

1. Berus Dengan Kerap

Memberus menanggalkan lapisan lekitan bakteria dari gigi dan gusi anda yang boleh mengakibatkan nafas berbau, jadi lakukan ini sekurang-kurangnya dua kali sehari. Kerana sesetengah bau boleh disingkirkan serta-merta selepas makan, simpan berus gigi di tempat kerja anda. Beli berus gigi baru setiap tiga bulan, dengan memilih berus berbulu lembut. Gunakan ubat gigi yang menyingkirkan bakteria yang mengakibatkan bau.

2. Bersihkan Lidah Anda

Lidah sering tidak dipedulikan dalam penjagaan mulut, tetapi plak dan ketulan kecil makanan boleh terkumpul pada lidah anda. Semasa memberus gigi, sapukan berus dengan perlahan di atas lidah untuk menyingkirkan makanan dan bakteria yang boleh menyebabkan nafas berbau. Jika anda mempunyai lidah yang bersalut, anda mungkin mendapat manfaat dengan menggunakan pengikis lidah.

3. Flos Sekali Sehari

Jangan lupa untuk memflos. Amalan memflos sekali sehari akan menyingkirkan plak yang tersembunyi di celah gigi. Memflos adalah sama penting dengan memberus kerana partikel makanan kecil boleh terperangkap dalam kawasan ini.

4. Bersihkan Gigi Palsu dan Alat Pemegang Gigi Anda

Penjagaan mulut yang betul termasuk mengekalkan kebersihan apa sahaja yang berada dalam mulut anda. Tanggalkan gigi palsu anda pada waktu malam dan beruskan dengan pembersih gigi. Jika anda menggunakan alat pemegang gigi, bersihkannya setiap kali sebelum meletakkannya ke dalam mulut anda.

5. Elakkan Minuman Tertentu

Sesetengah minuman boleh menyebabkan nafas berbau. Menurut majalah Prevention, ini termasuk kopi dan minuman beralkohol, seperti bir, wain dan wiski. Ia meninggalkan kesan yang melekat pada plak di dalam mulut anda, jadi setiap nafas yang anda sedut menghembuskan kembali bau ini ke udara.

6. Berhati-hati Dengan Makanan yang Berbau

Bau daripada keju berperisa kuat, seperti Camembert, Roquefort dan keju biru, boleh kekal dalam mulut anda. Minyak pati daripada bawang putih, bawang merah dan cili pedas juga boleh menyebabkan mulut berbau walaupun beberapa lama selepas makan. Mengelakkan bawang putih dan bawang merah bukanlah pilihan terbaik, walau bagaimanapun, kerana ia merupakan makanan sihat, semak petua berikut untuk membantu mengurangkan masalah ini.

7. Gunakan Penyegar Nafas Semula Jadi

Beberapa herba dan rempah di dapur anda boleh menyegarkan nafas anda. Herba pasli mengandungi klorofil, yang merupakan penyahbau semula jadi. Meminum secawan teh pudina atau mengunyah daun pudina juga boleh membantu. Satu lagi petua adalah untuk mengunyah bunga cengkih, biji jintan manis atau jintan hitam selepas memakan makanan yang meninggalkan bau.

8. Elakkan Mulut Kering

Mulut kering boleh menyebabkan nafas berbau, jadi sentiasa kekal terhidarat. Anda perlu minum banyak air dan harus mengelakkan minuman ringan, kopi dan alkohol kerana semuanya boleh mengeringkan mulut. Dalam keadaan mulut kering yang teruk, doktor gigi mungkin mempreskripsikan air liur tiruan.

9. Jangan Merokok atau Mengunyah Tembakau

Selain daripada membahayakan kesihatan dalam pelbagai cara, merokok dan mengunyah tembakau boleh menyebabkan nafas berbau. Bau yang kurang menyenangkan dari produk ini kekal dalam mulut selepas digunakan. Paling terbaik adalah untuk mengelakkannya sepenuhnya.

10. Dapatkan Pemeriksaan dan Pembersihan Gigi dengan Kerap

Buat janji temu bagi pemeriksaan dan pembersihan gigi dengan kerap. Berbincang tentang nafas berbau anda dengan doktor gigi supaya beliau boleh menentukan sama ada masalah anda berpunca daripada mulut, kesan sampingan ubat anda atau disebabkan oleh keadaan kesihatan umum. Apabila puncanya bukan disebabkan oleh masalah dalam mulut anda, anda mungkin perlu merujuk doktor anda.

Jika anda mencuba cara menghilangkan nafas berbau ini, terutamanya amalan penjagaan mulut yang baik, masalah ini berkemungkinan bertambah baik. Semuanya mudah untuk diamalkan dan boleh membantu anda menangani nafas berbau.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.