penjagaan gigi kanak-kanak - colgate my

Gigi Kanak-kanak yang Sihat: Fakta Mengejutkan Setiap Ibu Bapa Harus Tahu

Bukan setiap kanak-kanak mengalami kaviti. Apakah rahsia kepada gigi kanak-kanak yang sihat? Apakah yang dilakukan oleh ibu bapa hebat untuk melindungi anak mereka daripada kerosakan gigi? Penjagaan mulut yang baik untuk kanak-kanak bukanlah suatu misteri. Memberus, memflos dan lawatan ke klinik gigi dengan kerap merupakan kunci bagi memastikan senyuman yang sihat. Selain daripada melakukan amalan asas dengan komited, terdapat beberapa fakta tentang penjagaan gigi yang perlu diketahui oleh setiap ibu bapa hebat.

Hari Lahir Pertama, Kunjungan Pertama ke Klinik Gigi

Di Amerika Syarikat, lebih daripada satu perempat kanak-kanak kecil mengalami kaviti menjelang usia 4 tahun. Satu cara untuk membantu mencegah kaviti awal kanak-kanak adalah memulakan pemeriksaan gigi dua kali setahun dari awal. Akademi Pediatrik Amerika mengesyorkan kunjungan ke doktor gigi pediatrik bermula pada usia satu tahun. Kunjungan awal dengan seorang profesional adalah penting untuk mengetahui sama ada anak anda berisiko mengalami kaviti. Anda juga boleh mempelajari beberapa petua penjagaan mulut yang tidak ternilai, seperti cara memberus gigi anak anda dengan betul dan berapakah amaun fluorida yang mencukupi untuk si kecil anda.

Fluorida Melindungi Gigi Kanak-kanak dari Dalam

Fluorida penting bagi perlindungan kaviti kerana ia menguatkan enamel gigi dan ia memineralkan semula gigi, mencegah proses pemecahan semula jadi yang disebabkan oleh asid. Sebaik sahaja doktor gigi anda mengesyorkan ubat gigi berfluorida, biasanya sekitar usia 2 tahun, anda boleh mula memberus gigi anak anda dua kali sehari dengan ubat gigi yang mengandungi mineral yang melawan kaviti ini. Penggunaan fluorida secara topikal (daripada ubat gigi, kumuran dan rawatan profesional di klinik) bukan satu-satunya cara untuk mencegah kerosakan gigi dengan mineral ini. Fluorida yang ditelan juga boleh membantu menguatkan gigi dalam kalangan kanak-kanak sehingga berusia 16 tahun. Ia memasuki aliran darah dan bermanfaat untuk gigi yang sedang tumbuh. Air minuman dicampur fluorida di sesetengah komuniti untuk membantu menyokong kesihatan mulut yang baik. Jika air minuman anda tidak mengandungi fluorida, maka doktor gigi anda mungkin mengesyorkan suplemen untuk anak anda.

Gigi Kanak-kanak yang Sihat Menggalakkan Gigi Dewasa yang Sihat

Gigi susu mula tercabut sekitar usia 6 atau 7 tahun dan kemudiannya digantikan dengan gigi kekal. Walaupun anak anda akan kehilangan semua gigi primernya, penjagaan baik set gigi yang pertama masih penting. Kerosakan gigi yang tidak dirawat dalam gigi susu boleh menjejaskan gigi dewasa yang terdapat di bawah baris gusi.

Anda boleh memastikan gigi anak anda sihat dan bebas kaviti sehingga ke alam dewasa. Mulakan tabiat kesihatan mulut harian yang baik dan kunjungan ke klinik gigi dari awal. Bertanya kepada doktor gigi anda tentang penggunaan fluorida yang optimum. Anak anda akan berterima kasih kerana memiliki ibu bapa hebat yang melakukan segalanya untuk melindungi senyumannya.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.