Bagaimana pen pemutih gigi berfungsi dan cara menggunakannya - colgate

Pen Pemutih Gigi 101

Published date field Terakhir dikemaskini:

Dikaji Secara Perubatan Oleh Komunikasi Sains Global Colgate

Memiliki senyuman yang lebih cerah dan putih tidak hanya meningkatkan penampilan kita, malah meningkatkan keyakinan kita. Jadi, tidak hairanlah kita mempunyai begitu banyak produk pemutihan gigi tanpa preskripsi selain ubat gigi pemutih. Salah satu produk itu ialah pen pemutih gigi, yang boleh ditambah ke dalam rutin penjagaan mulut anda untuk meningkatkan kecerahan dan keputihan gigi anda. Di sini, kita akan membincangkan perihal, cara penggunaan dan keberkesanan alat tersebut.

Apakah Itu Pen Pemutih Gigi?

Gigi boleh dinodai oleh makanan berwarna seperti beri, sos merah, kopi, teh, wain merah, soda berwarna gelap dan rokok. Seperti ubat gigi pemutih, pen pemutih gigi melawan noda biasa ini—tetapi berbeza daripada ubat gigi dari segi saiz, kemudahalihan dan kemudahan umum.

Dari segi struktur, alat ini merupakan tiub plastik nipis yang mengandungi gel pemutih dan direka bentuk untuk menjadi kecil dan mudah alih. Pen ini boleh membantu menambah baik warna gigi anda dengan menanggalkan sisa noda pada setiap permukaan gigi. Produk pemutihan ini selalunya memberikan hasil yang boleh dilihat dengan cepat—kadangkala, walaupun selepas pusingan pertama penggunaan anda.

Pen pemutih gigi sesuai jika anda ingin menerapkan sentuhan terakhir pada keputihan gigi anda, mungkin kerana anda ada acara istimewa yang akan datang atau ingin menambahkan sedikit kilauan dalam masa yang singkat. Dan jangan berasa malu untuk menyerlahkan senyuman anda; kekecewaan dengan warna gigi ialah perkara yang biasa. Menurut kajian dari tahun 2005 dari Jurnal Sains Oral (Journal of Oral Science), lebih 22% remaja tidak berpuas hati dengan warna gigi anterior mereka. Jadi, jika anda sedang mencari kaedah yang cepat dan mudah untuk mencerahkan senyuman anda, pen pemutih gigi boleh menjadi pilihan yang bagus.

Bahan Kandungan

Jadi, bagaimanakah pen pemutih gigi berfungsi? Seperti kebanyakan produk pemutihan gigi tanpa preskripsi, pen pemutih gigi biasanya mengandungi satu daripada dua peluntur: hidrogen peroksida atau karbamida peroksida. Peluntur gigi ini memecahkan noda menjadi cebisan yang lebih kecil. Seterusnya, ia menjadikan noda kurang pekat dan membuat gigi anda kelihatan lebih cerah. Ingat bahawa tidak ada perbezaan yang ketara dalam keberkesanan kedua-dua peluntur ini, jadi pen yang mengandungi salah satu peluntur sepatutnya menjadi pilihan yang baik. Jika anda berminat untuk menggunakan pen pemutih gigi atau ingin ambil tahu tentang kaedah pemutihan gigi jenis lain, berbual dengan penyedia penjagaan mulut anda terlebih dahulu untuk membincangkan pilihan terbaik untuk keperluan anda.

Manfaat utama pen pemutih gigi ialah kemudahan—tidak seperti dulang dan jalur pemutih, pen pemutih adalah mudah alih dan cukup kecil untuk dimuatkan di dalam poket atau dompet anda supaya boleh dibawa semasa dalam perjalanan. Selain itu, pen pemutih gigi juga agak cepat dan mudah digunakan. Walaupun arahan mungkin berbeza-beza mengikut produk, penggunaan terutamanya melibatkan beberapa saat untuk memutar dan menyapu—itu sahaja!

Apakah Tahap Keberkesanannya?

Apabila bercakap tentang keberkesanan pen ini, itu bergantung pada jenis perubahan warna anda dan proses penggunaan. Pertama, tidak semua noda adalah sama: agen peluntur ini berkemungkinan akan memutihkan noda kuning tetapi mungkin tidak akan memutihkan noda perang atau kelabu. Kaedah pemutihan ini juga tidak akan berfungsi pada korona, venir atau tampalan. Selain itu, jangan lupa mengikut arahan dengan teliti, kerana agen peluntur mesti kekal pada gigi anda untuk jangka masa tertentu agar peroksida berinteraksi dengan noda anda, jadi anda perlu mengelak daripada makan, membilas dan minum selepas disapu. Sememangnya sukar—tetapi bertahanlah kerana hasilnya memang berbaloi!

Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan pen pemutih gigi anda dengan betul pada gigi yang menguning, anda akan melihat hasil yang cepat. Jika anda sedang mencari penggalak yang lebih ketara untuk kecerahan gigi anda, doktor gigi anda mungkin mempunyai pilihan yang lebih berkuasa kerana produk tanpa preskripsi ini biasanya mengandungi jumlah peluntur yang kurang pekat daripada yang anda terima di klinik doktor gigi. Sekali lagi—sila berbincang dengan penyedia penjagaan mulut anda tentang jenis kaedah pemutihan gigi terbaik.

Cara Penggunaan

Arahan berkemungkinan akan meminta anda menggunakan dua kali sehari. Berikut ialah cara pen pemutih gigi biasanya berfungsi:

  1. Sila bermuladengan memberus gigi anda menggunakan berus gigi bulu lembut.
  2. Selepas memberus dengan teliti, tanggalkan penutup atas pen dan putar bahagian bawah pen sehingga anda melihat gel pada hujung berus.
  3. Kemudian, sapukan lapisan nipis gel pemutih pada setiap permukaan gigi, pastikan seluruh permukaan gigi bersentuhan dengan gel pemutih.
  4. Akhir sekali, jangan bilas. Produk perlu kekal pada gigi anda supaya berkesan.

Kesan Sampingan

Kadangkala, anda mungkin mengalami kepekaan gigi disebabkan oleh peroksida dalam bahan pemutih yang menembusi enamel anda dan bersentuhan dengan dentin, yang boleh merengsakan saraf gigi anda. Tetapi jangan takut—kerana pen pemutih gigi mempunyai dos peluntur yang rendah, jadi kepekaan jenis ini biasanya ringan dan sementara. Tetapi jika kepekaan terasa terlalu teruk, sila berbincang dengan penyedia penjagaan gigi anda.

Anda berhak mendapat senyuman yang lebih putih dan cerah, dan pen pemutihan gigi boleh memudahkan anda mencapai matlamat tersebut. Jika pemutihan gigi yang cepat dan mudah ialah matlamat anda, maka ini mungkin pilihan yang tepat untuk anda. Untuk membuat penambahbaikan berkala yang kekal, ikuti arahan produk yang anda gunakan dan anda bakal mengukir senyuman yang lebih cerah dan bersinar.