cara memutihkan gigi - colgate my

Cara Memutihkan Gigi Anda: 4 Kaedah untuk Gigi Yang Lebih Putih, Lebih Cerah

Published date field Terakhir dikemaskini:

Dikaji Secara Perubatan Oleh Komunikasi Sains Global Colgate

Hampir separuh daripada orang dewasa Amerika percaya senyum ialah ciri yang paling tidak dapat dilupakan setelah bertemu dengan seseorang, menurut tinjauan yang dijalankan oleh American Academy of Cosmetic Dentistry (AACD). Hal ini dapat menjelaskan sebab begitu banyak pesakit gigi ingin tahu tentang pilihan pemutihan gigi mereka. Sama ada anda baru menanggalkan pendakap, sedang bersiap untuk acara mega atau anda hanya dambakan senyuman yang lebih cerah, temui rawatan pemutihan yang tepat.

Mulakan dengan Berbincang dengan Doktor Gigi Anda

Sekiranya anda mencari cara untuk memutihkan gigi, mulakan dengan berbincang dengan doktor gigi anda. Mereka boleh membantu anda mencari rawatan pemutihan gigi terbaik dan mengutarakan faktor risiko. Sebagai contoh, anda mungkin perlu menangani kereputan gigi atau penyakit gusi terlebih dahulu supaya anda dapat mengehadkan kepekaan gigi dan kerengsaan gusi semasa pemutihan. Mana-mana rawatan pemutihan amat berkesan pada gigi yang sihat.

Doktor gigi juga dapat mengenal pasti sama ada noda yang anda ingin putihkan adalah ekstrinsik atau intrinsik. Noda ekstrinsik berlaku di permukaan gigi dan biasanya dapat dibuang melalui cara mekanikal. Akan tetapi, noda intrinsik melibatkan permukaan di bawah enamel. Noda jenis ini memerlukan pelunturan, iaitu reaksi kimia yang mengubah warna gigi. Kategori noda mempengaruhi jenis, tempoh dan jumlah rawatan yang diperlukan untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

Akhir sekali, pemulihan seperti venir, mahkota, implan atau tampalan tidak boleh diputihkan menggunakan kaedah tradisional. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor gigi jika anda ingin mencerahkan pemulihan ini atau gigi di sekitarnya.

Kaedah Pemutihan Gigi Tanpa Preskripsi

Sekiranya mencerahkan senyuman anda dari rumah kedengaran menarik, anda boleh bermula dengan kaedah tanpa preskripsi (OTC) untuk memutihkan gigi.

Ubat Gigi Pemutih

Ubat gigi pemutih menggunakan pelelas ringan untuk menggosok permukaan gigi dan menghilangkan noda ekstrinsik. Walaupun sesetengah formula mungkin mengandungi soda penaik atau hidrogen peroksida, ia lebih kepada penggilapan dan bukannya pelunturan untuk mengubah penampilan gigi. Oleh yang demikian, mungkin memakan masa yang lebih lama untuk melihat hasilnya.

CARA PENGGUNAAN: Gantikan ubat gigi biasa anda dengan ubat gigi pemutih dan berus gigi dua kali sehari selama dua minit.

Jalur Pemutih

Jalur pemutih melekatkan lapisan nipis agen peluntur terus pada gigi menggunakan jalur plastik yang fleksibel. Hidrogen peroksida biasanya merupakan bahan aktif. Walaupun jalur mudah dan menjimatkan kos, ia mungkin sukar melekat terus pada enamel jika jajaran gigi anda tidak sempurna.

CARA PENGGUNAAN: Jalur pemutih biasanya dilekatkan terus pada gigi selama 30 minit hingga satu jam. Ikuti arahan pada label dengan teliti. Penggunaan yang tidak betul boleh menyebabkan kepekaan gigi, kerengsaan gusi dan hakisan enamel.

Larutan Pemutih di Pusat Rawatan

Jika anda mahukan hasil yang lebih cepat dan ketara, anda boleh berjumpa doktor gigi untuk mengetahui pilihan pemutihan yang lain.

Dulang Pemutih di Rumah

Dulang pemutih di rumah menggunakan gel dengan julat kepekatan peroksida — biasanya antara 10 ke 38 peratus karbamida peroksida — untuk melunturkan gigi anda secara beransur-ansur. Doktor gigi anda akan membuat dulang tersuai supaya gel muat dengan selesa pada gigi anda. Dulang akan mengurangkan kadar sentuhan gel dengan gusi anda dan membantu mengelakkan kerengsaan.

CARA PENGGUNAAN: Doktor gigi anda akan memberikan arahan untuk meletakkan larutan peluntur di dalam dulang dan tempoh untuk membiarkan dulang pada gigi anda. Kit pelunturan di rumah memerlukan masa dari beberapa hari hingga beberapa minggu untuk mencapai warna yang diinginkan.

Pemutihan di Pusat Rawatan

Pemutihan di pusat rawatan menggunakan gel peroksida yang lebih kuat daripada pilihan di rumah. Doktor gigi akan melindungi gusi anda dengan gel pelindung dan kemudian menyapu gel pemutih. Doktor gigi mungkin memancarkan cahaya khas untuk memulakan reaksi. Seluruh proses memakan masa sekitar satu jam dan biasanya boleh dihabiskan dalam satu kunjungan, namun mungkin lebih banyak sesi diperlukan.

Namun begitu, gigi setiap orang akan memberikan tindak balas yang berbeza terhadap rawatan pemutihan. Sebelum bermula, berbincang dengan doktor gigi anda mengenai pilihan terbaik untuk anda. Doktor gigi boleh menjawab sebarang pertanyaan anda mengenai cara memutihkan gigi melalui rawatan OTC atau di pusat rawatan dan membantu anda membuat keputusan terbaik. Memilih kaedah pemutihan gigi terbaik mendekatkan anda dengan senyuman yang lebih cerah dan tanggapan pertama yang tidak dapat dilupakan.